KUCHING: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo dijangka mengumumkan kadar tambang baharu lebih berdaya saing bagi laluan penerbangannya pada minggu depan atau pertengahan bulan ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, kadar baharu itu termasuk pakej tambang merangkumi bagasi dan hidangan dalam penerbangan tanpa caj tambahan.
Menurut Abang Johari, pengumuman itu termasuk melibatkan beberapa laluan utama, khususnya penerbangan Kuala Lumpur-Kuching, selaras dengan komitmen kerajaan negeri menawarkan tambang lebih mampu milik kepada rakyat.
“Saya boleh beri sedikit bayangan. Tambang penerbangan Kuala Lumpur-Kuching akan lebih murah seperti yang telah kita janjikan.
“Harga ini juga termasuk bagasi dan makanan dalam penerbangan kerana biasanya syarikat penerbangan mengenakan caj tambahan untuk bagasi, tetapi bagi AirBorneo semuanya telah dikira, termasuk makan dalam kapal terbang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Dana Bangunan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani di sini, hari ini.
Pada awal tahun ini, Abang Johari memaklumkan AirBorneo akan memulakan operasi pesawat jet pada Julai 2026 sebagai fasa kedua pengembangan syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak itu.
Operasi awal dijangka melibatkan laluan Kuching ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Singapura dan Jakarta selepas fasa pertama memberi tumpuan kepada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) menggunakan pesawat turboprop.
Terdahulu Abang Johari memberitahu, Kerajaan Sarawak akan membina bangunan baharu PAWE Sri Satok bernilai RM1.7 juta yang bakal dibina di atas tapak seluas 2,137 meter persegi bersebelahan Pusat Kebajikan Datuk Amar Juma’ani (PKDAJ).
Beliau berkata, penyediaan pusat aktiviti khusus untuk warga emas amat penting memandangkan Sarawak dijangka memasuki fasa masyarakat menua menjelang tahun 2027.
“Secara umumnya, dasar kerajaan ialah membangunkan lebih banyak kawasan riadah supaya masyarakat dapat berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti rekreasi dalam persekitaran yang hijau serta dilengkapi dengan kemudahan yang sesuai,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sebuah lagi PAWE akan dibangunkan di Samariang, Petra Jaya sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperluaskan kemudahan kebajikan kepada golongan warga emas.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman serta yang lain. – Utusan Borneo Online
