Kansas City, Amerika Syarikat: Selepas lebih dua dekad mencipta nama dalam bola sepak antarabangsa, Lionel Messi akhirnya akan berdepan England buat kali pertama apabila Argentina menentang pasukan itu pada separuh akhir Piala Dunia 2026 di Atlanta, awal pagi Khamis ini.
Sepanjang kariernya, Messi sudah beraksi menentang hampir semua kuasa besar bola sepak dunia termasuk Brazil, Uruguay, Jerman, Itali, Sepanyol dan Perancis, namun England kekal sebagai satu-satunya juara dunia yang belum pernah dihadapinya.
Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) menyifatkan pertembungan itu sebagai “perlawanan yang ditakdirkan untuk Messi” menerusi laman sesawang rasminya.
Peluang paling hampir buat Messi bertemu England hadir pada aksi persahabatan di Geneva pada November 2005, yang juga kali terakhir kedua-dua negara bertembung.
Ketika itu, Argentina tewas 2-3 selepas Wayne Rooney dan Michael Owen, yang menjaringkan dua gol membantu England bangkit daripada ketinggalan hasil jaringan Hernan Crespo dan Walter Samuel.
Bagaimanapun, Messi tidak beraksi kerana digantung selepas dilayangkan kad merah pada penampilan sulung antarabangsanya menentang Hungary beberapa bulan sebelum itu.
“Ia sesuatu yang istimewa kerana mereka adalah pasukan hebat dan antara kuasa besar bola sepak dunia.
“Sentiasa menyeronokkan untuk bermain dalam perlawanan seperti ini,” kata Messi selepas kemenangan 3-1 ke atas Switzerland pada suku akhir.
“Kami perlu berehat kerana sudah mengharungi banyak perlawanan yang menguji fizikal. Apa yang penting kami tiba dalam keadaan terbaik untuk terus bersaing seperti yang kami lakukan setakat ini,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
