KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Run 2026 berlangsung meriah dengan penyertaan masyarakat daripada pelbagai lapisan yang berhimpun bagi menyemarakkan amalan gaya hidup sihat serta memupuk semangat kebersamaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai melakukan aktiviti kecergasan, malah menjadi ruang untuk mengukuhkan hubungan silaturahim dan menyatukan masyarakat melalui aktiviti riadah.
Beliau menyifatkan suasana penyertaan yang memberangsangkan itu sebagai gambaran positif terhadap kesedaran masyarakat untuk menjalani kehidupan lebih sihat dan aktif.
Menurutnya, aktiviti larian berkenaan membawa mesej lebih besar daripada sekadar mencapai garisan penamat, sebaliknya menggalakkan masyarakat bergerak bersama ke arah pembentukan komuniti yang sihat dan cergas.
Fahmi turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pos Malaysia atas penganjuran program berkenaan yang menghimpunkan masyarakat dalam suasana penuh semangat dan kebersamaan.
Penganjuran acara seumpama itu turut memperlihatkan kepentingan aktiviti sukan dan riadah sebagai medium menggalakkan interaksi sosial serta membudayakan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat. – DRP
