TAWAU: Pembangunan kemudahan sukan, penaiktarafan kompleks sukan serta peningkatan bantuan kepada atlet dan golongan belia antara perkara yang bakal diberi penekanan menerusi Bajet Sabah 2027.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kementeriannya memberi tumpuan kepada tiga bidang berkenaan bagi memastikan pembangunan sukan dan pengupayaan belia di negeri ini terus diperkasakan.
Menurutnya, usaha meningkatkan kemudahan sukan sedia ada perlu dilaksanakan bagi menyediakan prasarana yang lebih baik, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai golongan muda untuk melibatkan diri secara aktif dalam pembangunan negeri.
Beliau berkata, penambahbaikan itu juga diharap dapat memperkukuh penyertaan belia dalam pelbagai bidang, selain memberi sokongan lebih menyeluruh kepada pembangunan atlet di Sabah.
Katanya, perkara berkenaan merupakan antara komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kemajuan sektor sukan dan pembangunan belia berjalan seiring dengan agenda pembangunan Sabah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pertandingan Memanah Tradisi Piala NABT Terbuka Tawau, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Nizam berkata, Bajet Sabah 2027 turut mengambil kira tiga teras utama Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai panduan dalam merangka keutamaan pembangunan negeri.
Jelasnya, selain memberi perhatian kepada penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, kerajaan negeri juga terus menitikberatkan pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur perlu bergerak seiring dengan usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat supaya manfaat pembangunan dapat dirasai secara lebih menyeluruh.
Katanya, kerajaan negeri bukan sahaja memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan asas, malah akan terus memperluas usaha membantu rakyat demi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara. – DRP
