Kaherah: Ahli arkeologi menemukan sebuah makam purba berusia 3,000 tahun berhampiran bandar Luxor, selatan Mesir, menurut kenyataan pihak berkuasa pada Ahad.
Penemuan itu menjadi perkembangan terbaharu dalam siri penemuan bersejarah yang diharap mampu membantu menghidupkan semula sektor pelancongan negara berkenaan.
Makam yang dipercayai milik seorang lelaki bernama Paser itu ditemukan oleh misi arkeologi Belanda dari Universiti Leiden di nekropolis Sheikh Abd el-Qurna yang terletak di Tebing Barat Luxor, menurut Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir.
Pakar percaya makam berkenaan dibina pada era Ramesside yang meliputi Dinasti ke-19 dan ke-20 Mesir, berdasarkan gaya artistik pada inskripsi ukiran yang terdapat di dalamnya.
Makam itu terletak di bahagian timur tapak pengebumian yang pernah dikenal pasti sebelum ini dan mengikut reka bentuk tradisional makam peribadi Theban dari zaman Kerajaan Baharu (1570 hingga 1069 Sebelum Masihi).
Struktur berkenaan terdiri daripada halaman terbuka yang menghubungkan ke sebuah gereja kecil dipahat pada batu berbentuk seperti huruf “T” terbalik dengan ruang pengebumian diukir di bawah paras tanah.
Pasukan arkeologi turut menemukan beberapa elemen seni bina yang masih terpelihara dengan baik di kawasan berkenaan, termasuk bangku batu tanah liat yang direka untuk menempatkan stela pengebumian serta tangga yang diapit laluan cerun menuju ke pintu masuk makam.
Di bahagian dalam makam, inskripsi ukiran yang memaparkan nama Paser menggambarkan beliau sedang menyembah pelbagai dewa di dalam kuil, selain visual beliau duduk bersama isterinya di hadapan meja persembahan.
Pasukan penggalian memaklumkan kerja dokumentasi dan kajian lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti individu sebenar yang dikebumikan di dalam makam berkenaan, selain memahami konteks sejarah serta nilai arkeologinya dengan lebih mendalam.
Penemuan itu direkodkan ketika Mesir giat mempromosikan penemuan arkeologi baharu sebagai usaha menyokong sektor pelancongan yang menjadi antara sumber utama mata pendapatan mata wang asing negara itu.
Kredit sumber: AFP/Harian Metro
