TAWAU: Kehadiran Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal, menziarahi pesakit kanser di Kampung Pisang, di sini, memberi suntikan semangat kepada Hasniati Abd Hakim untuk terus cekal menghadapi penyakit yang dihidapinya.
Rina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan berkata, kunjungan itu dilakukan sebagai tanda sokongan moral selain mahu memastikan Hasniati mendapat perhatian dan tidak berasa keseorangan ketika melalui tempoh sukar berikutan keadaan kesihatannya.
Menurut beliau, ketabahan Hasniati amat menyentuh hati apabila wanita itu masih mampu menampilkan senyuman serta wajah yang ceria meskipun sedang berdepan cabaran kesihatan.
“Yang membuat saya betul-betul tersentuh, walaupun diuji dengan sakit, Puan Hasniati masih kuat, masih ceria dan masih mampu tersenyum.
“Saya melihat sendiri semangatnya. Kuat betul hati Puan Hasniati,” katanya.
Rina berkata, keprihatinan dan sokongan daripada masyarakat amat bermakna kepada pesakit yang sedang mendapatkan rawatan kerana perhatian sedemikian dapat membantu menguatkan semangat serta emosi mereka.
Katanya, kunjungan itu juga memberikan satu pengalaman bermakna kepadanya apabila kekuatan yang ditunjukkan Hasniati menjadi inspirasi dalam memahami erti ketabahan ketika berdepan dugaan.
“Kadang-kadang, kita datang untuk memberikan semangat kepada orang yang kita ziarah, tetapi akhirnya kita pula yang belajar tentang erti kuat dan tabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendoakan agar Hasniati terus diberikan kekuatan, dipermudahkan segala urusan serta tabah menjalani rawatan.
“Terus kuat, Hasniati. Kita sama-sama doakan yang baik-baik untuk Puan,” katanya.
Rina berkata, pendekatan ziarah kasih akan terus dilaksanakan sebagai salah satu usaha untuk mendekati masyarakat, khususnya mereka yang memerlukan perhatian dan sokongan ketika berdepan pelbagai cabaran kehidupan.
Menurutnya, kunjungan secara bersemuka membolehkan sokongan moral disampaikan secara langsung, selain memberi peluang kepada wakil rakyat memahami keadaan serta keperluan masyarakat dengan lebih dekat.
Beliau berkata, perhatian terhadap pesakit dan golongan yang memerlukan bukan hanya memberi kekuatan dari aspek emosi, malah menjadi tanda bahawa mereka sentiasa mempunyai sokongan masyarakat dan wakil rakyat dalam menghadapi setiap dugaan. – DAKWAT RAKYAT POST
