SERDANG, 3 September 2026 – Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) berhasrat memperkukuh industri perikanan Sabah dengan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi, pendigitalan, pengukuhan rantaian sejuk serta pembangunan produk bernilai tambah.
Pengerusi SAFMA, Datuk Mohammad Mohamarin berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan sektor perikanan terus menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, selain meningkatkan nilai ekonomi hasil laut Sabah.
Menurutnya, penyertaan SAFMA pada MAHA 2026 turut dimanfaatkan untuk memperkenalkan potensi hasil laut negeri itu kepada masyarakat, pemain industri dan pelabur.
Katanya, selaras dengan tema MAHA 2026, “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, SAFMA mengetengahkan Ikan Rakyat Sabah, iaitu produk hasil laut sejuk beku yang mempunyai potensi untuk diperluaskan ke pasaran lebih besar termasuk di Semenanjung Malaysia.
“Bagi SAFMA, ikan bukan sekadar sumber protein tetapi sebahagian daripada rantaian ekonomi yang melibatkan nelayan, pengangkutan, pemprosesan, pemasaran dan pengguna.
“Justeru, kita perlu memperkukuh keseluruhan rantaian bermula daripada pendaratan, pengendalian, rantaian sejuk, pemprosesan sehingga ke pemasaran,” katanya ketika mengadakan lawatan ke gerai SAFMA di Pavilion Sabah sempena MAHA 2026 di MAEPS, di sini.
Turut hadir Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar, Timbalan Pengurus Besar, Aziz Ali Amat serta barisan ahli lembaga pengarah SAFMA.
Mohammad berkata, sektor perikanan kini berdepan beberapa cabaran termasuk peningkatan kos operasi, kekurangan tenaga kerja dan perubahan iklim yang memerlukan industri beralih kepada pendekatan lebih moden berasaskan teknologi dan data.
Pada masa sama, usaha mengurangkan pembaziran selepas hasil pendaratan turut perlu diberi perhatian bagi memastikan hasil tangkapan dapat dimanfaatkan secara optimum.
Beliau turut menyifatkan ekonomi biru sebagai antara peluang besar yang boleh diterokai untuk meningkatkan nilai sumber marin secara mampan.
Menurutnya, bidang seperti pemprosesan, penghasilan produk nilai tambah, teknologi perikanan, rantaian sejuk beku dan bioteknologi marin mampu membuka ruang baharu kepada industri perikanan Sabah.
“Kita mahu laut terus menghasilkan nilai ekonomi, tetapi pada masa sama memastikan sumber marin terus terpelihara.
“SAFMA juga mahu mewujudkan ekosistem yang lebih mesra pelaburan serta membuka peluang kepada generasi muda dalam teknologi marin, pemprosesan, logistik, pemasaran digital dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata, usaha SAFMA memberi tumpuan kepada pengukuhan rantaian nilai bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati dengan lebih meluas oleh nelayan dan pengusaha tempatan.
Katanya, pendekatan itu penting dalam membangunkan industri perikanan yang lebih moden, berdaya saing dan mampu berkembang secara mampan. – DAKWAT RAKYAT POST
