TAWAU, 16 Julai 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus memperkukuh usaha memperkemas pengurusan Banduan Warga Asing (BWA) menerusi Mesyuarat Task Force One Stop Centre (OSC) Pengurusan Banduan Warga Asing Bilangan 2 Tahun 2026 yang diadakan di Pejabat Imigresen Tawau, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, dan menghimpunkan wakil daripada beberapa agensi penguat kuasa serta jabatan berkaitan bagi menyelaras pelaksanaan pengurusan dan penghantaran pulang banduan warga asing yang telah selesai menjalani hukuman.
Antara fokus utama mesyuarat ialah memperkemaskan proses dokumentasi, mempercepat urusan pemindahan banduan melalui pendekatan One Stop Centre (OSC) serta memperkukuh kerjasama antara semua agensi yang terlibat bagi memastikan sistem pengurusan BWA berjalan dengan lebih cekap dan tersusun.
Melalui pendekatan bersepadu itu, setiap agensi dapat menyelaraskan tindakan dengan lebih berkesan sekali gus mengurangkan kelewatan dalam urusan penghantaran pulang banduan ke negara asal mereka.
Mesyuarat berkenaan turut mencapai beberapa ketetapan strategik yang dijangka mampu mempercepat proses repatriasi BWA, selain membantu mengurangkan kesesakan di Depot Imigresen melalui pengurusan yang lebih sistematik.
Turut menghadiri mesyuarat ialah ASP Razali bin Basa dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Pengarah Penjara Tawau, PPK Hasrul Anwar Hashim, Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan), KPP Amrih Siatoh, Ketua Bahagian Penguatkuasaan, PPI Abdul Rahman Khanizaman, Komandan Depot Imigresen Tawau, PPI Ash Rizal Abdul Rahman, Pegawai Pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Faisal Hatimah, Penolong Pengarah Penguatkuasaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Joannes Yabin serta Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Ahmad Izzuddin Abd Aszim.
Penganjuran mesyuarat itu mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Imigresen Malaysia Sabah bersama agensi berkaitan dalam memperkukuh penyelarasan antara jabatan bagi memastikan pengurusan Banduan Warga Asing dapat dilaksanakan secara lebih efisien, teratur dan memenuhi keperluan operasi semasa. – DAKWAT RAKYAT POST
