New York: Pengikat rambut ikonik yang dipakai Erling Haaland sepanjang kempen Piala Dunia habis dijual selepas permintaannya melonjak sepanjang kejohanan itu.
Penyerang Norway berkenaan muncul antara figura paling popular di Amerika Syarikat hasil ketajamannya di depan gol selain personalitinya di luar padang.
Haaland meledak tujuh gol dalam lima perlawanan untuk muncul penjaring terbanyak Norway pada kejohanan itu, yang juga penampilan pertama negara berkenaan di Piala Dunia dalam tempoh 26 tahun.
Namun, bukan hanya aksi di atas padang yang mencuri perhatian, malah gelagat Haaland di luar padang turut tular di media sosial.
Antara yang menjadi bualan ialah pembelian haiwan yang diawet Wild Bill’s Whiskey Raccoon sebelum dia menaiki pesawat pulang ke Norway.
Produk berharga AS$750 (RM3,220) itu kini habis dijual dan ia bukan satu-satunya barangan yang menikmati lonjakan permintaan.
Pengikat rambut yang dipakai Haaland, keluaran syarikat Korea Selatan, Dooji Co., turut habis dijual.
Menurut pegawai jualan syarikat itu, pengikat rambut jenama Kknekki menerima sambutan luar biasa sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Kknekki ialah jenama yang dibangunkan Ketua Pegawai Eksekutif Dooji, Cho Hyun-tae, yang turut menghasilkan pengikat rambut khas untuk dipakai Haaland.
Penyerang Manchester City itu memilih pengikat rambut yang akan dipakainya mengikut warna jersi pada setiap perlawanan.
Cho memasuki pasaran Eropah pada 2015 selepas menandatangani perjanjian pelesenan dengan syarikat Norway, Bon Dep.
Haaland juga adalah pemegang saham minoriti Bon Dep selepas melabur dalam syarikat itu pada April 2024.
Selepas Haaland memakai pengikat rambut Kknekki sepanjang Piala Dunia, jualan produk itu melonjak sehingga mencatat rekod tertinggi.
Bagaimanapun, perjalanan Norway di Piala Dunia berakhir pada peringkat suku akhir selepas tewas 1-2 kepada England.
Sejak itu, Haaland dan teman wanitanya, Isabel Haugseng Johansen, dilihat menikmati percutian di Sicily, Itali.
Pasangan berkenaan baru-baru ini menghadiri acara anjuran Dolce & Gabbana di pulau itu, termasuk pertunjukan fesyen Alta Sartoria yang berlangsung di Taormina.
Kredit sumber: Agensi/Harian Metro
