Kuala Lumpur: Harga bahan mentah seperti ayam, daging dan hasil laut di Pasat Chow Kit, di ibu negara tidak berubah walaupun hampir tiga minggu kerajaan melaksanakan penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter.
Tinjauan Harian Metro di pasar itu, di sini, mendapati ayam dijual pada harga antara RM9.50 hingga RM10.50 setiap kilogram (kg).
Harga daging lembu pula dijual bermula RM24 hingga RM26 per kg mengikut jenis dan bahagian.
Telur ayam pula dijual RM13.80 untuk 30 biji atau satu papan telur Gred AA, Gred A (RM13.50), Gred B (RM12.60), Gred C (RM11.40), Gred D (RM9.90) dan Gred E (RM8.40).
Berlaku kenaikan harga terutama telur Gred B sebelum ini RM11.70, Gred C sebelum ini RM9.90, Gred D sebelum ini RM8.10 dan Gred E sebelum ini RM6.90 ketika tinjauan pada 3 Julai lalu.
Peniaga ayam, Md Husin Mohamed, 49, berkata, harga ayam runcit kekal pada RM10.50 sekilogram sejak kenaikan harga diesel sebelum ini dan masih belum menunjukkan sebarang penurunan walaupun kerajaan mengumumkan pengurangan harga diesel bersubsidi menerusi BUDI MADANI.
Menurutnya, harga yang diterima daripada pembekal ketika ini adalah RM9.20 sekilogram menyebabkan peniaga hanya memperoleh keuntungan sekitar RM1.20 hingga RM1.30 sekilogram.
“Harga daripada ladang dan pembekal masih sama. Kita pun berharap mungkin minggu depan ada penurunan, tetapi setakat ini belum ada lagi,” katanya yang sudah lebih 30 tahun berniaga ayam di Pasar Chow Kit.
Sementara itu, peniaga daging, Mohd Sahrin Mohd Arshad, 45, berkata, harga daging lembu masih kekal antara RM24 hingga RM26 sekilogram sejak selepas Aidiladha.
Menurutnya, harga bekalan daripada pembekal masih sekitar RM20 hingga RM21 sekilogram dan keuntungan sebenar yang diperoleh peniaga adalah kecil selepas mengambil kira proses pembersihan.
“Kalau jual daging yang sudah dinyah beku, untung lebih kurang RM1 lebih sahaja.
“Kami perlu jual dalam kuantiti banyak barulah boleh dapat keuntungan yang lebih,” katanya.
Bagi pekerja kedai hasil laut, Agong Abdul, 30, harga ikan berubah mengikut bekalan dan permintaan setiap hari.
Menurutnya, antara harga semasa adalah ikan sardin dijual RM12 per kg, ikan tamban (RM13/kg), ketam (RM24/kg) dan ikan kekek (RM11/kg).
Selain itu, ikan bawal (RM22/kg), ikan kerisi (RM14 hingga RM15/kg), ikan kerapu (RM13 hingga RM14/kg), ikan cermin (RM14 hingga RM15/kg), ikan tongkol(RM11/kg) dan ikan susu (RM15/kg).
“Harga memang tidak menentu. Dalam sehari pun boleh tukar sampai tiga kali bergantung kepada bekalan dan harga peniaga lain.
“Kita juga tidak mahu simpan ikan lama-lama kerana kualitinya akan berkurang. Jadi lebih baik kita jual murah sedikit,” katanya.
Dalam pada itu, pelanggan, Saerah Hassan, 52, berkata, harga barang basah di pasaran masih belum menunjukkan penurunan walaupun kerajaan sudah mengumumkan pengurangan harga diesel bersubsidi.
Katanya, kebanyakan pengguna mengharapkan harga ayam, daging dan hasil laut menjadi lebih murah supaya dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian.
“Saya memang datang beli barang basah setiap minggu, tetapi setakat ini harga masih sama. Ada juga barang seperti telur yang naik berbanding sebelum ini.
“Sebagai pengguna, saya berharap kos pengangkutan sudah berkurang, peniaga dan pembekal dapat menurunkan harga supaya rakyat turut menikmati manfaatnya,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
