KOTA KINABALU: Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (PRESBAH) menggesa semua pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air yang menjejaskan lebih 1,000 penghuni di Kondominium Kingfisher, Putatan.
Presiden PRESBAH, Haji Yahya Ahmad, berkata masalah bekalan air yang berlarutan itu telah memberi tekanan kepada penduduk, terutama apabila gangguan aliran air berlaku secara berulang.
Menurut beliau, isu sama pernah berlaku pada tahun 2023 dan ketika itu ia dikategorikan sebagai isu kritikal sebelum beberapa langkah penyelesaian sementara dilaksanakan.
“Pada masa ini, apa yang penting ialah semua pihak termasuk Menteri Kerja Raya, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah serta pihak pengurusan kondominium perlu berganding bahu mencari penyelesaian segera demi kebajikan penghuni,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, masalah bekalan air bukan sahaja berlaku di kawasan berkenaan, malah turut melibatkan beberapa lokasi lain di Sabah dan memerlukan perhatian serius semua pihak.
Sehubungan itu, PRESBAH berharap usaha bersepadu dapat dilaksanakan dengan segera bagi memastikan bekalan air kembali pulih dan kehidupan penduduk tidak terus terjejas.
Haji Yahya turut mengingatkan bahawa penyediaan bekalan air yang lancar merupakan tanggungjawab Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), justeru tindakan pantas amat diperlukan bagi menangani isu tersebut.
— Tamat
