East Rutherford: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencuri perhatian apabila hadir menyaksikan final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina di Stadium MetLife, biarpun sempat menerima sorakan boo daripada sebahagian penyokong.
Trump tiba menaiki helikopter Marine One sebelum disambut Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino dan menyaksikan perlawanan dari tempat duduk kenamaan bersama Wanita Pertama, Melania Trump.
Sorakan bercampur antara tepukan dan boo kedengaran apabila wajah Trump dipaparkan di skrin gergasi stadium, namun reaksinya dilihat lebih sederhana berbanding beberapa penampilannya di acara sukan lain sebelum ini.
Presiden berusia 80 tahun itu turut diberi peluang melihat trofi Piala Dunia dari dekat sebelum perlawanan bermula dan sempat menyentuh trofi emas berkenaan ketika dibawa ke ruang tetamu khas.
Sebelum sepak mula, Trump menjangkakan Argentina memiliki kelebihan untuk muncul juara menerusi sentuhan kapten mereka, Lionel Messi.
“Sukar untuk menentang Messi,” katanya sambil menyifatkan Presiden Argentina, Javier Milei sebagai ‘rakan yang melakukan tugas dengan cemerlang’.
Trump turut duduk berdekatan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney dan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, walaupun hubungan diplomatik Washington dengan kedua-dua negara itu masih tegang.
Beliau juga dilihat berjabat tangan dengan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez yang hadir bersama kerabat diraja Sepanyol.
Trump dijangka menyampaikan trofi kepada juara selepas tamat perlawanan, sekali gus menjadikan ia penampilan sulungnya di final Piala Dunia sebagai Presiden AS.
Sepanjang kejohanan, Trump beberapa kali menjadi perhatian apabila secara terbuka memuji kejayaan penganjuran Piala Dunia 2026.
“Ini mungkin acara sukan paling berjaya dalam sejarah dunia. Ia sungguh menakjubkan,” katanya pada majlis bersama Infantino di Trump Tower, New York, minggu lalu.
Menurut Trump, kejohanan itu turut membantu meningkatkan populariti bola sepak di AS.
“Rupa-rupanya kami adalah negara bola sepak dan saya percaya ia akan terus kekal begitu,” katanya.
Bagaimanapun, penglibatan Trump dalam kejohanan itu tidak terlepas daripada kontroversi, termasuk dakwaan beliau pernah menghubungi Infantino bagi memohon kad merah penyerang AS, Folarin Balogun, dibatalkan menjelang aksi pusingan 16 terbaik.
Kehadirannya pada final turut mengimbau insiden Piala Dunia Kelab tahun lalu apabila beliau kekal berada di pentas ketika pemain Chelsea meraikan kejuaraan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong bola sepak dunia.
Kredit sumber: AFP/Harian Metro
