LUMUT, 20 Julai 2026 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, YB Norhaslinda Zakaria menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap beberapa isu keselamatan di kawasan tepi pantai Lumut berhampiran Jalan menuju ke pintu TLDM yang didakwa telah lama dibangkitkan tetapi masih belum diselesaikan.
Menurut beliau, aduan itu diterima daripada beberapa peniaga ketika beliau bersama keluarga menikmati minum petang di kawasan berkenaan pada Ahad.
Antara isu yang dibangkitkan ialah lampu jalan yang tidak berfungsi sehingga menyebabkan kawasan tersebut menjadi gelap pada waktu malam, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan.
Beliau berkata, menurut peniaga, aduan berkaitan telah dibuat beberapa kali kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM), namun sehingga kini masalah berkenaan masih belum diselesaikan.
Selain itu, katanya, kewujudan pokok besar yang uzur turut membimbangkan kerana dikhuatiri boleh tumbang atau dahan patah ketika hujan lebat dan angin kencang, sekali gus mengancam keselamatan peniaga serta pengunjung.
Norhaslinda turut memaklumkan terdapat lubang yang tidak bertutup di laluan pejalan kaki yang berpotensi membahayakan orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas dan pengunjung yang beriadah di kawasan tersebut.
Beliau berkata, isu berkenaan sebenarnya telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) beberapa bulan lalu, namun sehingga kini masih belum melihat sebarang tindakan di lapangan.
“Saya berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak memandang ringan perkara ini. Jangan tunggu sehingga berlaku kemalangan atau kehilangan nyawa, barulah tindakan diambil.
“Keselamatan rakyat mesti menjadi keutamaan,” katanya.
Norhaslinda menegaskan beliau akan terus membawa dan memantau isu tersebut sehingga tindakan sewajarnya dilaksanakan demi kesejahteraan peniaga, penduduk setempat serta pengunjung.
Beliau turut menegaskan bahawa perkara itu bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya rakyat hanya mahukan tindakan segera bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.- DAKWAT RAKYAT POST
