SEMPORNA: Penduduk daripada golongan asnaf dan kanak-kanak di Pulau Mabul menerima manfaat menerusi Program IHSAN FIDYAH yang menyaksikan pengagihan 100 bakul makanan serta 170 bungkus makanan siap dimasak.
Program anjuran Pertubuhan Ihsanku Malaysia dengan kerjasama Surau Al Falah Semporna itu digerakkan oleh Al Falah Team yang diterajui Pengerusinya, Ustaz Ahmad Kamil bin Mohamad, merangkap wakil Pertubuhan Ihsanku Malaysia Sabah, bersama barisan asatizah dari Semporna.
Ustaz Ahmad Kamil berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha mendekati masyarakat yang memerlukan, khususnya golongan asnaf dan anak-anak di pulau berkenaan, melalui bantuan makanan serta pendekatan kebajikan berteraskan nilai keprihatinan.
Menurutnya, tanggungjawab seorang pendidik tidak seharusnya terhenti selepas selesai menjalankan tugas di dalam kelas, sebaliknya perlu diteruskan menerusi khidmat kepada masyarakat dan usaha menyampaikan dakwah di luar lingkungan sekolah.
Katanya, masih banyak ruang untuk golongan pendidik menyumbang kepada masyarakat, menyantuni mereka yang memerlukan serta menyampaikan nilai kebaikan selagi mempunyai kudrat dan kemampuan.
Beliau berkata, usaha itu turut mencerminkan komitmen Al Falah Team untuk terus melaksanakan amanah mendidik dan berbakti kepada masyarakat tanpa mengira tempat.
Berteraskan moto “Tidak boleh bantu semua, jangan tinggal semua”, pihaknya berharap lebih ramai golongan dermawan tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban golongan asnaf.
Menurutnya, sokongan masyarakat amat bermakna dalam memastikan golongan memerlukan, khususnya di kawasan pulau, terus mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.
Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan dengan penglibatan lebih ramai pihak agar kehidupan golongan asnaf menjadi lebih ceria dan bermakna.-DRP
