SANDAKAN: Sabah Electricity (SE) digesa mengambil tindakan segera bagi menangani gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan penduduk serta golongan peniaga, khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Musa berkata, orang ramai pada masa sama diminta bertenang dan bersabar sementara usaha pemulihan bekalan dilaksanakan.
Beliau yakin Sabah Electricity sedang berusaha mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah berkenaan dan berharap tindakan sewajarnya dapat dipercepatkan.
“Kita berharap agar rakyat bertenang dan bersabar, tetapi pada masa sama SE perlu mengambil tindakan segera.
“Saya yakin pihak SE tidak akan duduk diam, sebaliknya akan mengambil langkah untuk menangani masalah itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut makluman Sabah Electricity, insiden membabitkan menara penghantaran T313 menyebabkan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah ketika ini bergantung kepada kapasiti penjanaan setempat yang terhad.
Sehubungan itu, catuan bekalan elektrik secara bergilir dilaksanakan bagi membolehkan lebih ramai pengguna menikmati bekalan, selain memastikan kestabilan sistem dan mengelakkan gangguan yang lebih meluas.
Tinjauan turut mendapati pelaksanaan catuan bekalan mula dilihat sekitar jam 6 petang hari ini.
Dalam usaha memastikan perkhidmatan penting tidak terjejas, set janakuasa bergerak atau genset turut digerakkan ke lokasi strategik termasuk hospital, sekolah dan balai polis.
Sabah Electricity juga terus mengoptimumkan semua sumber penjanaan yang tersedia bagi meningkatkan jumlah bekalan elektrik yang dapat disalurkan kepada pengguna.-DRP
