KOTA KINABALU: Isu lampu jalan yang tidak berfungsi serta sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila memerlukan tindakan segera bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa berkata, kedua-dua isu itu merupakan antara aduan utama yang sering diterima daripada penduduk setiap kali beliau mengadakan lawatan dan turun padang di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dijalankan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sungai Manila mendapati lebih 10 lampu jalan didapati rosak di beberapa lokasi, antaranya Jalan Old Labuk Batu 9, Taman Fortune, Taman Tai Fai Yin Batu 8, Jalan Pengkalan Kampung Padas, Kampung Jawa 1 serta beberapa kawasan lain.
Katanya, masalah lampu jalan dan perparitan bukan sahaja memberi kesan kepada keselesaan penduduk, malah turut menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan, khususnya pada waktu malam.
“Perkara ini bukan hanya berlaku di Sungai Manila, namun sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan saya bertanggungjawab membawa isu yang dihadapi penduduk di DUN ini untuk diberikan perhatian,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17.
Hazem turut memaklumkan kira-kira 20 tiang lampu jalan di laluan dari Simpang Batu 10 menuju Jalan Sungai Batang Lama masih tidak berfungsi, selain tujuh lagi tiang lampu di Jalan Pampang yang memerlukan kerja pembaikan segera.
Beliau berkata, kelewatan menyelesaikan masalah berkenaan boleh meningkatkan risiko kemalangan dan kejadian jenayah selain menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
Selain itu, Hazem turut menggesa agar kerja penyelenggaraan dan pembesaran sistem perparitan dipercepatkan di beberapa lokasi yang dikenal pasti, termasuk Jalan Utama Batu 8 hingga Batu 9, Jalan Kampung Sentosa Batu 10, Kampung Sibugal Besar dan kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Sibugal Besar.
Menurutnya, usaha menaik taraf sistem saliran perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku ketika hujan lebat.
Beliau juga berharap kementerian berkaitan mempertingkat pemantauan terhadap infrastruktur awam serta memastikan syarikat konsesi melaksanakan penyelenggaraan secara berkala tanpa hanya bergantung kepada aduan orang ramai.
Dalam perkembangan sama, Hazem mencadangkan kerajaan terus memperkukuh usaha membantu pekebun kecil memasarkan hasil pertanian mereka di samping memperluaskan sokongan kepada komuniti nelayan bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup.
Beliau berkata, peruntukan tambahan berjumlah RM1.612 bilion yang dibentangkan kerajaan mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan negeri serta memastikan kebajikan rakyat Sabah terus diberi keutamaan.
Terdahulu, Hazem membangkitkan perkara tersebut ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan DUN Sabah Ke-17 di Kota Kinabalu. – DAKWAT RAKYAT POST
