KALABAKAN – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) digesa mempercepatkan proses tender semula projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Kampung Luasong yang bernilai lebih RM30 juta bagi memastikan projek yang tertangguh hampir sedekad itu dapat diteruskan dan disiapkan segera.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, kelewatan menyiapkan projek sambungan talian grid Zon 2 menyebabkan penduduk di sembilan kampung masih bergantung kepada sistem tenaga solar dan janakuasa diesel sebagai sumber bekalan elektrik harian.
Menurut beliau, hasil lawatan ke tapak projek mendapati masih banyak kerja pembinaan yang belum diselesaikan walaupun projek berkenaan sepatutnya sudah memberi manfaat kepada penduduk di kawasan terbabit.
“Keadaan di tapak menunjukkan masih terdapat banyak komponen projek yang belum siap. Oleh itu, saya berharap KKDW dapat mempercepatkan proses tender semula supaya kerja-kerja pembinaan dapat disambung tanpa berlengah,” katanya selepas mengadakan lawatan ke projek BELB Kampung Luasong.
Lawatan berkenaan turut disertai Pegawai Daerah Kalabakan, wakil KKDW, Sabah Electricity, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sebatik serta beberapa agensi berkaitan.
Andi berkata, projek yang dilaksanakan secara reka dan bina itu dimulakan sekitar tahun 2017 hingga 2018, namun pelaksanaannya dipercayai terhenti berikutan masalah kewangan yang dihadapi kontraktor asal.
Beliau menegaskan kelewatan itu tidak seharusnya berlanjutan sehingga menafikan hak penduduk luar bandar untuk menikmati kemudahan asas yang sepatutnya telah lama disediakan.
“Jika kontraktor terdahulu gagal meneruskan projek ini, kerajaan perlu melantik kontraktor baharu yang benar-benar mempunyai kemampuan untuk menyiapkannya. Penduduk sudah terlalu lama menunggu,” katanya.
Menurutnya, kelewatan projek bukan sahaja menjejaskan penduduk Kampung Luasong, malah turut memberi kesan kepada lapan lagi kampung yang sepatutnya menerima bekalan elektrik menerusi projek berkenaan.
Beliau berkata, projek BELB itu juga amat penting kerana menjadi asas kepada cadangan penyambungan grid elektrik dari Kampung Luasong ke Kampung Kalabakan yang sehingga kini masih bergantung kepada bekalan daripada sistem solar dan genset.
Dalam masa sama, Andi berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Luasong turut menerima kesan apabila masih menggunakan janakuasa diesel sebagai sumber bekalan elektrik.
Katanya, peningkatan harga diesel menyebabkan tempoh operasi genset terpaksa dipendekkan daripada sekitar jam 11 malam sebelum ini kepada kira-kira jam 9 malam, sekali gus menjejaskan rutin harian penduduk serta proses pembelajaran murid.
Beliau berharap kerajaan dapat mempercepatkan pelaksanaan semula projek itu supaya lebih 200 penduduk Kampung Luasong serta masyarakat di sembilan kampung sekitar Kalabakan dapat menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil, selamat dan berterusan.
Tambahnya, penyediaan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik adalah pemangkin penting kepada pembangunan sosioekonomi serta peningkatan kualiti hidup masyarakat luar bandar. – DAKWAT RAKYAT POST
