SANDAKAN, 24 Julai 2026 – Memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan dan pengoperasian aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan Sabah menjadi fokus utama Laksamana Muda Jamaludin Sairi selepas secara rasmi mengambil alih jawatan Panglima Wilayah Laut 2.
Jamaludin dilantik sebagai Panglima Wilayah Laut 2 yang ke-36, menggantikan Laksamana Muda Ivan Mario Andrew dalam majlis serah terima tugas yang berlangsung di Dewan Azim, Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disaksikan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris dan turut melibatkan upacara menandatangani nota serah terima tugas, pertukaran insignia serta penyerahan simbolik tampuk pemerintahan Wilayah Laut 2.
Bercakap kepada media selepas majlis itu, Jamaludin berkata keutamaan beliau adalah memperkukuhkan pengurusan operasi dan memastikan semua aset TLDM di bawah tanggungjawab Markas Wilayah Laut 2 berada pada tahap kesiapsiagaan yang optimum.
Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan keupayaan operasi TLDM terus dipertingkatkan dalam melindungi perairan Sabah daripada sebarang ancaman.
Selain aspek operasi, beliau berkata perhatian turut akan diberikan terhadap pengurusan logistik, penyelenggaraan kemudahan pangkalan, perumahan anggota serta pemeliharaan alam sekitar bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif.
Katanya, kebajikan warga TLDM juga akan terus diperkasakan termasuk memperkukuh peranan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dalam menjaga kesejahteraan keluarga anggota.
Sementara itu, Ivan Mario menyatakan keyakinan bahawa Markas Wilayah Laut 2 akan terus mencatat kecemerlangan di bawah kepimpinan Jamaludin yang disifatkan sebagai seorang pegawai berpengalaman dan memiliki kredibiliti tinggi.
Beliau turut memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di perairan Sabah sentiasa berada dalam keadaan terkawal hasil kesiapsiagaan aset serta anggota TLDM yang menjalankan rondaan dan operasi secara berterusan.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana perairan Sabah sentiasa dipantau dan dilindungi oleh aset serta anggota TLDM yang menjalankan tugas sepanjang masa,” katanya.
Jamaludin sebelum ini pernah menyandang jawatan Timbalan Panglima Wilayah Laut 2 selain memegang beberapa jawatan strategik dalam TLDM sepanjang perkhidmatannya.
Ivan Mario pula dijadualkan menamatkan perkhidmatan beliau dalam TLDM pada 7 Ogos depan selepas menabur bakti kepada pasukan itu selama beberapa dekad. – DAKWAT RAKYAT POST
