REMBAU: Pembangunan Negeri Sembilan perlu dikembalikan seperti zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata banyak pembangunan yang tertangguh selepas 2018.
“Sejak Negeri Sembilan ditadbir Pakatan Harapan (PH) selepas kekalahan BN pada 2018, pembangunan yang sepatutnya dinikmati rakyat gagal dilakukan.
“Negeri Sembilan berhampiran Kuala Lumpur, (berhampiran) lapangan terbang, Pelabuhan Klang tapi boleh dikatakan tiada apa, satu apa pun.
“Dua penggal kerjanya potong reben sahaja, tiada apa pun (perubahan),” katanya berucap dalam Majlis Perjumpaan Santai bersama masyarakat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Angsa Mas di sini, malam tadi.
Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, rakyat Negeri Sembilan wajar mendapat lebih berbanding apa yang dinikmati sejak dua penggal lalu.
“Saya bukan nak mengumpat, tapi rugi rakyat Negeri Sembilan tak ada apa. Apa yang saya tinggalkan, itu diuruskan tapi tidak boleh diurus macam itu.
“Negeri perlu membangun, perkapita pendapatan rakyat Negeri Sembilan nombor enam rendah dari Melaka.
“Sepatutnya tinggi tapi tidak, kerana pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan selama lima tahun tidak dapat mencapai sama taraf dengan pencapaian ekonomi negara,” katanya.
Pelan Pemodenan Negeri Sembilan 2015-2045
Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, BN sebelum ini merancang Pelan Pembangunan dan Pemodenan Negeri Sembilan 30 tahun 2015-2045 bagi meningkatkan ekonomi negeri itu.
“Apakan daya kita telah kalah pada 2018. (Bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak ketika itu nak kita lancarkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 tapi saya minta tunggu lepas PRU.
“Malangnya kita gagal menjadi kerajaan semula kerana hasutan fitnah melampau.
“Apa nak buat, apa nak cakap, kita yang silap. Salah pangkah dapat jamban macam P. Ramlee cakap.
“BN harus ambil alih semula pentadbiran Negeri Sembilan,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
