KUALA PILAH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam meminta supaya semua jawatan utama di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dijadikan jawatan tetap.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) berkata, keputusan itu dibuat selepas skim perkhidmatan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meletakkan tenaga kerja di bawah KEMAS di bawah perjawatan kontrak.
Beliau berkata, permintaan dibuatnya itu juga tidak ada kena mengena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebaliknya sebagai usaha menghargai komitmen guru serta tenaga kerja KEMAS yang banyak menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.
“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah KEMAS (Datuk Mohd Hanafiah Man) ambil kepedulian terhadap skim perkhidmatan baru kepada seluruh guru KEMAS dengan gaji dan tawaran yang lebih menarik.
“Kerana selama ini, skim perkhidmatan yang diluluskan oleh pihak JPA meletakkan KEMAS berada di dalam jawatan kontrak.
“Saya telah meminta Ketua Pengarah KEMAS supaya jawatan yang diberikan kepada seluruh guna tenaga KEMAS adalah jawatan tetap,” katanya selepas melancarkan Program Hari Kemahiran dan Potensi Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Rakan Muda, di sini, hari ini.
Hadir sama, Mohd Hanafiah dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid juga memuji komitmen yang diperlihatkan oleh guru dan tenaga kerja KEMAS sehingga mendapat pengiktirafan dunia oleh majalah Reader’s Digest selama enam tahun berturut-turut.
Beliau berkata, pengiktirafan itu juga menunjukkan petanda mereka masih boleh maju ke hadapan.
“Komitmen yang diperlihatkan oleh guru-guru KEMAS dan tenaga (kerja) KEMAS mendapat pengiktirafan dunia sebagai petanda kita boleh maju lagi ke hadapan.
“Selama enam dekad KEMAS berada di persada masyarakat, ia telah memperlihatkan bahawa jangan pernah pandang rendah kepada kemampuan KEMAS di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sekiranya BN diberi peluang mentadbir Negeri Sembilan dan berada di tempat pertama dari segi pembangunan, beliau akan meminta individu yang dilantik ke jawatan Menteri Besar melihat nasib guru di negeri itu.
“Saya akan minta sesiapa yang jadi Menteri Besar baharu di Negeri Sembilan, tolong tengok nasib guru KEMAS di Negeri Sembilan.
“Walaupun mereka adalah pegawai dan kakitangan kerajaan Persekutuan, kita mahu di Negeri Sembilan ini buat macam Johor.
“Di mana guru, kakitangan dan pegawai KEMAS diberikan bonus tambahan oleh kerajaan negeri Johor,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
