TAWAU: Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini memutuskan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilepas tanpa dibebaskan atas 17 tuduhan menerima rasuah, tiga tahun lalu.
Hakim Andi Razalijaya A Dadi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak meneruskan perbicaraan pada peringkat ini sementara menunggu pengesahan dapatan baharu berhubung kes terhadap Katika Dewiana Bacho, 38.
Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati terdapat alasan mencukupi bagi membenarkan permohonan itu mengikut Seksyen 254(2) Kanun Tatacara Jenayah, selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak.
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dikembalikan dan pasport diserahkan semula kepada tertuduh.
Berdasarkan pertuduhan, Katika didakwa memperoleh untuk dirinya sendiri suatu benda berharga iaitu wang tunai tanpa suatu balasan yang dipindahkan daripada akaun peribadi Maybank milik Eryano Jabar, 58, membabitkan nilai keseluruhan RM14,250.
Semua suapan didakwa diterima tertuduh daripada individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya yang mana Eryano berperanan menguruskan warga asing melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Tawau ke Kuala Lumpur.
Tertuduh sebagai Pegawai Imigresen Gred KP19 didakwa melakukan perbuatan itu di kaunter pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Tawau sepanjang tempoh antara Januari hingga Mac 2023.
Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsham Saharom, sementara tertuduh diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon dan Zahbia Ophent. -DAKWAT RAKYAT POST
