KUALA LUMPUR: Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas muncul juara acara 60 kilogram (kg) lelaki, semalam.
Aniq yang juga juara kategori 55kg pada edisi Birmingham 2022, mempamerkan aksi cemerlang apabila melakukan angkatan 121kg dalam snatch dan 152kg dalam clean and jerk untuk mengumpul keseluruhan 273kg.
Kejayaan itu menyaksikan atlet berusia 24 tahun berkenaan berjaya mempertahankan statusnya sebagai antara atlet angkat berat terbaik Komanwel meskipun beraksi dalam kategori baharu 60kg.
Pingat perak menjadi milik wakil India, Rishikanta Singh Chanambam yang turut mencatat angkatan 121kg dalam snatch, namun hanya mampu mengangkat 143kg dalam clean and jerk bagi mengumpul keseluruhan 264kg.
Sementara itu, Joshua Amunga Mboya dari Kenya meraih gangsa selepas mencatat jumlah angkatan 260kg.
Lebih manis, acara 60kg lelaki yang dipertandingkan buat julung kali di Sukan Komanwel menyaksikan ketiga-tiga catatan Aniq dalam snatch, clean and jerk serta jumlah keseluruhan diiktiraf sebagai rekod baharu temasya.
Emas dimenangi Aniq turut menjadi pingat emas pertama Malaysia pada edisi Glasgow 2026.
Ia juga merupakan pingat kedua kontinjen negara selepas juara powerlifting Paralimpik dua kali, Bonnie Bunyau Gustin, menghadiahkan pingat gangsa dalam acara lightweight lelaki, Jumaat lalu.
Kredit sumber: Buletin TV3
