BROOKLYN (New York) – Kasih sayang seekor ibu terhadap anak-anaknya terbukti tiada batas apabila seekor kucing jalanan sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan lima ekor anaknya daripada sebuah bangunan yang sedang terbakar dalam kejadian di Brooklyn, New York pada 30 Mac 1996.
Kucing betina yang kemudian dikenali sebagai Scarlett itu dilaporkan berulang kali meredah api untuk membawa keluar anak-anaknya seekor demi seekor ke kawasan yang lebih selamat.
Anggota bomba yang berada di lokasi, David Giannelli, berkata beliau menyaksikan Scarlett memasuki bangunan yang sedang terbakar sebanyak lima kali sebelum berjaya mengeluarkan kesemua anaknya. Malah, selepas semua anaknya diselamatkan, Scarlett masih mengalihkan mereka ke lokasi yang lebih jauh daripada bangunan berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka.
Pengorbanan itu bagaimanapun menyebabkan Scarlett mengalami kecederaan serius apabila bulu di bahagian mukanya hangus, telinga serta tapak kakinya melecur, manakala kedua-dua matanya mengalami lepuh sehingga tidak mampu dibuka.
Menurut saksi, sebaik sahaja semua anaknya berada di tempat selamat, Scarlett menyentuh setiap anaknya menggunakan hidung seolah-olah memastikan kesemuanya masih hidup sebelum rebah akibat kecederaan dan keletihan.
Scarlett bersama lima anaknya kemudian dibawa ke North Shore Animal League untuk menerima rawatan. Selepas kira-kira tiga bulan mendapatkan rawatan dan penjagaan, Scarlett berjaya pulih walaupun memerlukan rawatan susulan pada matanya. Seekor daripada anaknya bagaimanapun mati akibat jangkitan virus, manakala empat lagi berjaya diselamatkan dan ditempatkan bersama keluarga angkat.
Kisah keberanian ibu kucing itu mendapat liputan meluas media antarabangsa dan menyentuh hati masyarakat di seluruh dunia sehingga lebih 1,000 individu dilaporkan memohon untuk mengambilnya sebagai haiwan peliharaan.
Sebagai menghargai keberanian luar biasanya, North Shore Animal League America kemudian memperkenalkan Scarlett Award for Animal Heroism, iaitu anugerah khas bagi mengiktiraf haiwan yang menunjukkan keberanian dan pengorbanan luar biasa dalam menyelamatkan nyawa. – DAKWAT RAKYAT POST
Sumber rujukan: Facebook The Reporter
