TUNGKU: Seramai 21 mangsa banjir di sekitar Mukim Silabukan menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tungku dan JKM Lahad Datu bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana banjir.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.60 Tungku, Mohd Syahid Gulam berkata, bantuan berupa peralatan mandian dan tuala itu disampaikan kepada penerima di Kampung Rancangan Silabukan Peringkat 4 sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan penduduk yang terjejas.
Menurut beliau, bantuan tersebut diharap dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mangsa dalam menghadapi kesan banjir, selain menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat yang memerlukan.
“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mangsa banjir dan membantu mereka meneruskan kehidupan seperti biasa selepas bencana yang dialami,” katanya.
Beliau berkata, pihak Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.60 Tungku turut mengambil perhatian terhadap masalah banjir yang sering melanda kampung berkenaan setiap kali hujan lebat.
Sehubungan itu, katanya, UPPM telah mengarahkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Silabukan Peringkat 4 supaya mengemukakan aduan rasmi kepada SLDB bagi kerja-kerja penyelenggaraan parit yang dipercayai menjadi punca aliran air tersumbat.
Selain itu, beliau turut meminta JKKK membuat aduan kepada syarikat konsesi yang bertanggungjawab menyelenggara jalan di kawasan tersebut agar tindakan segera dapat diambil bagi mengatasi masalah saliran dan mengelakkan banjir berulang.
“Kita berharap semua pihak berkaitan dapat memberi perhatian serius terhadap isu ini kerana penduduk di kampung ini berdepan banjir hampir setiap kali hujan lebat. Penyelesaian jangka panjang amat diperlukan bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan menjamin keselamatan penduduk,” katanya.
Majlis penyerahan bantuan itu turut dihadiri Pengerusi JKKK Kampung Silabukan Peringkat 4, Jailani, Penyelia Kemajuan Masyarakat N.60 Tungku, Mohd Sakhir serta Pemaju Masyarakat N.60 Tungku, Niksan.
Mohd Syahid turut mendoakan agar semua mangsa yang terjejas diberikan ketabahan serta dipermudahkan segala urusan sepanjang proses pemulihan selepas banjir.
