PAPAR, 28 Julai 2026 – Dua projek utama bekalan air di daerah ini dijangka mula memberi kelegaan kepada penduduk Papar, Putatan dan Kimanis apabila Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon serta loji muka sauk baharu di Kabang dijadualkan beroperasi secara berperingkat menjelang penghujung tahun ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, LRA Kogopon yang berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dijangka mula membekalkan air pada penghujung November, manakala loji muka sauk Kabang dijangka mula beroperasi pada September.
Beliau berkata, kedua-dua projek berkenaan memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan negeri menangani masalah kekurangan bekalan air yang sekian lama membelenggu penduduk di kawasan Papar, Putatan dan Kimanis.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya memantau pelaksanaan kedua-dua projek secara rapi bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan.
Selain itu, beliau turut menggesa JANS mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menangani gangguan bekalan air dengan menghantar lori tangki ke kawasan yang terjejas, bukan sahaja di Papar malah di seluruh negeri.
“Isu bekalan air adalah masalah legasi, namun kerajaan negeri komited untuk menyelesaikannya. Saya sendiri menerima banyak aduan daripada rakyat dan berharap jabatan memberi perhatian serius supaya masalah ini dapat diatasi secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat mengenai perkembangan kedua-dua projek berkenaan di Langkah Syabas Resort, berhampiran sini, hari ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Chee Chun Chieh memaklumkan bahawa projek LRA Kogopon bernilai RM365.9 juta kini berada di landasan untuk mula membekalkan air menjelang akhir November.
Menurutnya, walaupun keseluruhan projek dijangka siap sepenuhnya pada 2028, loji berkapasiti 80 MLD itu akan mula beroperasi lebih awal bagi memenuhi keperluan bekalan air di Papar, Putatan hingga Kimanis sebelum penghujung tahun ini.
Dalam perkembangan sama, projek loji muka sauk Kabang bernilai RM39.73 juta kini telah mencapai kemajuan kira-kira 90 peratus.
Loji baharu itu dibina lebih jauh ke hulu Sungai Papar di kawasan Kabang bagi mengatasi masalah kemasinan air yang sering mengganggu operasi Loji Rawatan Air di bawah Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) serta kemudahan pengambilan air sedia ada di Limbahau.
Apabila siap beroperasi, kapasiti loji muka sauk tersebut akan meningkat daripada sembilan juta liter sehari kepada 30 juta liter sehari, sekali gus memperkukuhkan bekalan air mentah untuk memenuhi keperluan pengguna di kawasan terlibat.
Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali. – DAKWAT RAKYAT POST
