KUALA LUMPUR: Selepas melalui detik mencabar susulan masalah kesihatan yang dialami awal tahun ini, artis versatil, Shamsul Ghau Ghau, kini menunjukkan perkembangan positif dan semakin mampu menjalani aktiviti harian secara berdikari.
Isterinya, Sharifah Azrinah Syed Ibrahim atau lebih mesra disapa Rina, berkata Shamsul masih menjalani pemeriksaan susulan seperti biasa dan memerlukan masa sebelum kembali aktif dalam bidang seni.
“Alhamdulillah, syukur kesihatan abang (Shamsul) semakin baik. Cuma, kalau hendak dikatakan sudah pulih 100 peratus, belum lagi. Dia masih menjalani proses pemulihan dan pemeriksaan susulan.
“Sekarang dia sudah mula melakukan kerja rumah seperti membasuh pakaian sendiri dan membantu menyidai baju. Abang juga sudah kembali melakukan aktiviti seperti berjalan pantas, berbasikal dan menunggang motosikal.
“Paling jauh, baru-baru ini dia ke Terengganu bersama rakan-rakan. Namun, selepas pulang dia kurang sihat kerana demam, mungkin disebabkan faktor cuaca dan keletihan,” katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, Rina berkata, dari segi daya ingatan, Shamsul masih dalam proses pemulihan dan tahap perkembangannya belum dapat dinilai sepenuhnya.
Menurutnya, Shamsul kini menjalani terapi pertuturan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Kadang-kadang abang nampak seperti biasa. Dia boleh bercakap dan berbual, tetapi ada masanya dia menjadi keliru.
“Kami sendiri tidak tahu sejauh mana tahap pemulihan yang mampu dicapainya. Kalau dapat kembali pulih sepenuhnya, Alhamdulillah. Jika tidak, kami akan teruskan sahaja proses pemulihan ini,” katanya.
Rina berkata, doktor turut menyarankan supaya Shamsul melakukan aktiviti yang dapat merangsang daya ingatan seperti membaca, membuat latihan minda dan melaksanakan tugasan harian secara sendiri.
“Doktor suruh dia buat perkara yang mencabar daya ingatan, contohnya pergi ke kedai membeli barang. Kami hanya beritahu apa yang perlu dibeli dan lihat sama ada dia mampu mengingatinya atau tidak.
“Dia akan lakukan semuanya. Cuma, soal memori ini membabitkan proses dalaman. Kita tidak tahu apa yang berlaku dalam fikirannya, hanya dia sendiri yang mengetahuinya,” katanya.
Mengulas perkembangan kerjaya seni suaminya, Rina berkata, Shamsul masih menyimpan hasrat untuk kembali bekerja dan pernah menerima tawaran berlakon dengan penuh keterujaan.
Bagaimanapun, selepas mencuba kembali ke lokasi penggambaran, pihak produksi mengambil keputusan untuk tidak meneruskan penglibatannya apabila melihat keadaan sebenar yang dialaminya.
“Apabila menerima tawaran kerja, dia sangat gembira kerana memang mahu kembali bekerja. Namun, apabila berada di lokasi penggambaran, barulah kami melihat keadaan sebenar.
“Ketika membaca skrip, dia faham apa yang perlu disampaikan. Tetapi apabila masuk ke babak lakonan, dia perlu mengulang dialog beberapa kali dan kelihatan sukar untuk melafazkannya sehingga percakapannya menjadi tersekat-sekat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rina berharap kesihatan dan emosi Shamsul akan terus menunjukkan perkembangan positif serta mendoakan suaminya diberikan kesembuhan sepenuhnya.
“Alhamdulillah, kami dikelilingi rakan-rakan yang sangat baik. Peminat juga sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat setiap kali bertemu abang.
“Saya mohon semua terus mendoakan kesihatannya. Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan dan membantu kami secara langsung atau tidak langsung sehingga hari ini,” katanya.
Pada 24 Januari lalu, Shamsul dilapor dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang dan menjalani pembedahan membuang darah beku pada salur darah utama di bahagian kiri otaknya pada hari yang sama.
Kredit sumber: Berita Harian
