SEREMBAN: Parti Wawasan Negara (WAWASAN) berpandangan BERSATU sudah tidak lagi relevan dalam landskap politik semasa susulan prestasi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, turut mengajak bekas rakan seperjuangannya dalam BERSATU supaya menyertai WAWASAN sekiranya masih mahu meneruskan perjuangan politik demi kepentingan rakyat.
“Saya nak beritahu kepada rakan-rakan saya yang dahulunya daripada BERSATU, sudahlah. Di Johor kalah, di sini pun kosong.
“Kembalilah bersama pimpinan yang benar-benar ikhlas dan jujur demi masa depan rakyat. Bukan untuk saya tetapi untuk semua rakyat,” katanya pada sidang media di Rasah Kemayan, di sini malam ini.
Beliau berkata demikian mengulas prestasi BERSATU pada PRN Negeri Sembilan.
Hamzah turut mengulas corak kempen BERSATU sepanjang pilihan raya yang lebih banyak menyerang gabungan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) berbanding Pakatan Harapan (PH), sekali gus mempersoalkan pendirian sebenar parti itu.
“Dalam kempen, mereka tidak pernah bercakap mengenai PH. Mereka lebih banyak menyerang kami. Terpulang kepada mereka tetapi pada saya mereka sudah tidak relevan lagi,” katanya.
Mengulas prestasi pilihan raya itu, Hamzah turut menyindir BERSATU yang kehilangan deposit di hampir semua kerusi yang ditandingi.
“Saya dimaklumkan mereka bertanding 24 kerusi. Saya rasa tak perlulah kita bercakap mengenai mereka lagi,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
