Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan menghantar pasukan pegawai penyiasat ke Jakarta, Indonesia pada 11 hingga 15 Ogos ini bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah membabitkan seorang juruterbang warga Malaysia.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan berkenaan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengumpul maklumat lanjut berhubung dalang utama sindiket berkenaan.
Beliau berkata, tumpuan siasatan merangkumi usaha mengenal pasti sumber bekalan dadah, modus operandi penyeludupan, serta jalinan hubungan antara suspek dengan sindiket tempatan di negara jiran itu.
“Kita akan melihat keseluruhan rangkaian pengedaran dadah ini, termasuk dari mana bekalan diperoleh, sindiket yang terbabit, bagaimana suspek melepasi pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan hubungan yang wujud dengan sindiket di Indonesia,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Hussein menegaskan lawatan kerja itu bertujuan melengkapkan siasatan terhadap keseluruhan rantai bekalan dadah berkenaan dan mengenal pasti sekiranya terdapat individu lain yang turut bersekongkol.
Mengenai status undang-undang juruterbang berusia 39 tahun itu, beliau mengesahkan Malaysia tidak akan mengemukakan permohonan ekstradisi memandangkan suspek perlu berdepan tindakan undang-undang di Indonesia terlebih dahulu.
“Tiada permohonan ekstradisi dibuat. Kita akan terus menerima maklumat terkini daripada Polis Negara Republik Indonesia (POLRI), namun suspek wajib menjalani proses perundangan di sana,” katanya.
Suspek sebelum ini ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas dipercayai cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah ke negara berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Hussein memaklumkan pihak polis telah merekodkan keterangan daripada dua anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) KLIA bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, tiada sebarang penahanan dibuat setakat ini dan hasil siasatan awal mendapati kedua-dua anggota terbabit tidak mempunyai hubungan langsung dengan suspek.
Sementara itu, pihak polis turut meneliti kemungkinan wujudnya keterkaitan antara kes juruterbang berkenaan dengan penahanan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 22 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya.
Hussein mendedahkan siasatan bagi kes di Surabaya berdepan kesukaran memandangkan sindiket terbabit dipercayai mendaftarkan nombor telefon menggunakan identiti pihak ketiga serta menggunakannya menerusi platform media sosial bagi membolehkan mereka mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Kredit sumber: Harian Metro
