Kuala Lumpur: Polis menumpaskan dua sindiket utama penyeludupan rokok tidak bercukai dan pengedaran vape haram menerusi dua operasi berasingan di Selangor membabitkan rampasan keseluruhan bernilai lebih RM12.7 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejayaan itu dicapai menerusi Op Taring Alpha 3 dan Op Taring Alpha 1 yang dilaksanakan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.
Beliau berkata, Op Taring Alpha 3 yang dijalankan pada 28 Julai lalu menyasarkan sebuah premis di Batu Caves, Gombak yang dipercayai dijadikan pusat penyimpanan dan pengedaran produk vape di sekitar Lembah Klang.
“Hasil serbuan, lima individu diperiksa dan polis merampas 131,036 kotak produk vape, 4,900 botol cecair vape serta 25,510 peranti rokok elektronik pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM9.4 juta.
“Siasatan mendapati produk terbabit dipercayai melanggar Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras, hari ini.
Mohd Yusri berkata, semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Pejabat Kesihatan Daerah Gombak untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Menurutnya, Op Taring Alpha 1 yang dijalankan pada 27 Julai lalu pula menyasarkan sebuah premis di Puchong yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan, penjualan dan pengedaran rokok tidak bercukai.
“Tiga lelaki tempatan yang dipercayai menguruskan operasi sindiket itu berjaya diberkas selain rampasan 166 karton mengandungi 1.66 juta batang rokok seludup dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.306 juta dilakukan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Mohd Yusri berkata, WCB/PSK akan terus memperhebat operasi berasaskan risikan bagi membanteras penyeludupan barang larangan dan jenayah rentas sempadan sepanjang tahun ini.
Katanya, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai lalu, sebanyak 236 kes direkodkan dengan 411 individu ditahan, manakala nilai keseluruhan rampasan mencecah RM280.4 juta.
“Dalam tempoh sama, Op Taring Alpha 3 merekodkan 11 kes dengan lima tangkapan serta rampasan bernilai RM9.5 juta, manakala Op Taring Alpha 1 merekodkan lima kes dengan 10 tangkapan dan rampasan berjumlah RM6.1 juta.
“Kejayaan ini membuktikan penguatkuasaan berasaskan risikan serta kerjasama strategik bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, KPDN, Kementerian Kesihatan dan agensi penguat kuasa lain berjaya memperkukuh usaha menumpaskan sindiket jenayah terancang yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan,” katanya.
Menurutnya, polis tidak akan berhenti setakat membuat tangkapan dan rampasan semata-mata.
“Fokus utama kami ialah mengenal pasti, menjejak dan melumpuhkan keseluruhan rangkaian sindiket termasuk dalang utama menerusi risikan bersepadu, siasatan serta tindakan penguatkuasaan.
“Polis akan terus memperkukuh kerjasama strategik selain memanfaatkan risikan dan teknologi bagi meningkatkan kawalan sempadan serta memelihara keselamatan negara,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
