BEAUFORT: Tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam satu kejadian di Balai Polis Weston, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa membabitkan dua koperal dan seorang konstabel. Difahamkan, dua daripada mangsa berasal dari Kelantan, manakala seorang lagi berasal dari Sibu, Sarawak.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.56 petang.
Susulan itu, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.
Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Irwan Abdul dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.
Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Setakat ini, punca kejadian serta keadaan yang menyebabkan mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Maklumat lanjut termasuk identiti penuh mangsa dijangka akan dikemas kini selepas siasatan selesai.
