Klang: Kad pengenalan, kad bank semua pinjam. Itu antara alasan diberikan sekumpulan warga asing yang enggan mengaku memiliki MyKad palsu dalam serbuan ke atas sebuah kilang produk getah di sini, hari ini.
Wartawan yang mengikuti operasi mendapati rata-rata warga asing berkenaan memberikan alasan itu bagi mengelak MyKad palsu milik mereka yang dibeli pada harga tertentu ditemukan pihak berkuasa.
Difahamkan dokumen palsu itu dijual pada harga serendah RM100 ke RM500 malah lebih lagi bergantung kepada kualiti dan lazimnya hanya digunakan untuk mencari pekerjaan dengan cara menyamar sebagai warga tempatan.
Antara dikesan menggunakan taktik itu adalah Nuraini, 30-an, iaitu wanita berasal dari Jawa, Indonesia yang mendakwa meminjam MyKad individu lain untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia.
“Saya cakap pada kawan minta tolong pinjam IC (MyKad) untuk dapatkan kerja. Pagi saya pinjam, petang pulangkan semula.
“Lepas dapat pinjam MyKad, kemudian ejen yang uruskan dengan tempat kerja,” katanya sambil mengaku sudah bekerja di kilang terbabit secara sambilan sejak sebulan lalu dengan gaji harian RM85,” katanya.
Seorang lagi warga Indonesia, Anton,30-an, berkata, dia membeli MyKad palsu berharga RM300 untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di premis itu sejak setahun lalu.
Katanya, dia menggunakan nama samaran pada dokumen palsu terbabit dan mengaku sebagai warga tempatan daripada Sabah ketika memohon pekerjaan.
Kesemua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990
Kredit sumber: Harian Metro
