PENAMPANG: Sabah dan Sarawak mempunyai peranan penting termasuk boleh menjadi ‘king maker’ untuk menentukan siapa yang akan menerajui pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Perkara itu ditegaskan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, sekali gus mengingatkan supaya peranan Sabah dan Sarawak tidak dipandang ringan.
“Kekuatan sebenar Sabah dan Sarawak adalah dalam menentukan sama ada Persekutuan Malaysia ini perlu diteruskan atau tidak.
“Justeru jangan perkecilkan peranan Sabah dan Sarawak dalam memastikan siapa Perdana Menteri, siapa Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 hari ini.
Mengulas lanjut, katanya kedudukan dua negeri terbabit perlu dilihat dalam konteks lebih luas memandangkan Sabah dan Sarawak antara komponen penting dalam pembentukan Malaysia.
“Saya melihatnya dalam konteks lebih besar. Persekutuan ataupun negara Malaysia ini tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu Sabah dan Sarawak harus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, harus menjadi sebahagian daripada tadbir urus negara ini dan boleh menjadi ‘king maker’ sama ada mahu meneruskan Persekutuan ini,” katanya.
Sementara itu, Ewon berkata UPKO sudah membuat persediaan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, termasuk memperkukuh struktur parti dan menggalakkan ahli yang berhasrat bertanding supaya meningkatkan gerak kerja di lapangan.
Menurutnya, soal pembahagian kerusi akan dibincangkan bersama parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila tiba masanya.
“UPKO akan menyampaikan pandangan dan pendirian, sekurang-kurangnya dua kerusi sedia ada UPKO untuk Parlimen iaitu Tuaran dan juga Penampang itu haruslah diberi ruang untuk parti ini bertanding.
“Sementara selebihnya itu, saya memilih untuk merunding melalui proses dalaman dalam GRS,” katanya.
Ewon berkata, setakat ini belum ada rundingan rasmi berhubung pembahagian kerusi dan perkara itu akan dibincangkan pada masa sesuai bersama Ketua Menteri Sabah serta parti komponen dalam GRS.
Kredit sumber: Berita Harian
