Shah Alam: Sindiket dadah antarabangsa dipercayai mula mencari laluan alternatif dengan menggunakan lapangan terbang lain susulan kawalan keselamatan yang semakin diperketatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perkara itu terbongkar menerusi Op Lejogaster selepas polis menggagalkan cubaan sindiket berkenaan menyeludup 270.27 kilogram bunga ganja bernilai RM21.62 juta ke Eropah menerusi serbuan berasingan termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata sindiket sentiasa mencari ruang dan kelemahan dalam sistem penguatkuasaan, termasuk dengan menukar laluan untuk menjalankan kegiatan mereka.
Katanya, dalam operasi terbaharu itu, polis merampas bunga ganja bernilai RM21.62 juta yang dipercayai untuk dihantar ke Eropah.
“Apabila KLIA menjadi ‘panas’, mereka mungkin menggunakan lapangan terbang lain.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, sindiket ini sentiasa mencari ruang dan akan menggunakan apa sahaja saluran yang tersedia, sama ada melalui darat, laut atau udara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Hussein berkata, menerusi operasi yang dilancarkan pada 12 Julai hingga Ogos lalu, sembilan individu termasuk seorang lelaki warga tempatan berusia 22 hingga 51 tahun ditahan menerusi serbuan berasingan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Katanya, pada 12 Julai, serbuan dilakukan di hadapan lobi sebuah hotel sekitar Bayan Lepas, Pulau Pinang dan dua suspek bersama dua bagasi berisi 31.72 kilogram bunga ganja dirampas.
Jelasnya, susulan tangkapan itu, pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah rumah di sekitar kawasan sama dan menemukan 31.14 kilogram bunga ganja.
“Serbuan seterusnya dilakukan pada 3 Ogos di sebuah rumah di Mantin, Negeri Sembilan yang mana seorang suspek ditahan bersama 10 bagasi berisi 175.76 kilogram bunga ganja.
“Susulan itu, lima lagi suspek ditahan di sekitar Sepang yang mana empat daripada mereka berperanan sebagai keldai dadah. Turut dirampas 0.5 gram methamphetamine.
“Pada hari yang sama, seorang lagi suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bersama dua bagasi berisi 31.65 kilogram bunga ganja. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas menerusi operasi ini adalah 270.27 kilogram,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan berkenaan diketuai seorang warga Portugal yang menyelaraskan kegiatan mereka dari Eropah dan aktif sejak April lalu.
Dalam operasi berkenaan, polis turut menyita aset bernilai RM117,172.
Kredit sumber: Harian Metro
