MIRI: Aktiviti mencari siput dua beranak berakhir tragedi apabila ibu maut disambar buaya di sebatang anak sungai yang bersambung dengan Sungai Suai, Batu Niah, pagi tadi.
Ketika kejadian, mangsa, Sambai Anggah, 78, berada di dalam perahu, manakala anak perempuannya, 31, di dalam sungai iaitu kira-kira pada jarak satu meter.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.26 pagi.
Susulan itu, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah diketuai PBK Azlan Azaman bergegas ke lokasi kejadian yang sejauh 32 kilometer dari balai.
Menurut beliau, semasa kejadian mangsa bersama anaknya sedang mencari siput di sekitar sungai berkenaan dengan mangsa berada di dalam perahu dan anaknya dalam sungai pada jarak satu meter.
“Anak mangsa menyaksikan buaya berkenaan menyambar ibunya sebelum mengheret mangsa kira-kira 10 meter dari perahu, sebelum melepaskan mangsa selepas dikepung penduduk kampung.
“Mangsa kemudian dijumpai penduduk kampung dalam keadaan terapung sebelum dibawa naik ke pangkalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan bomba kemudian menjalankan pemantauan di lokasi dan mendapati keadaan selamat serta terkawal.
Operasi ditamatkan pada jam 1.45 petang sebelum pasukan bergerak pulang ke balai, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online
