Putrajaya: Laluan laut terus menjadi pilihan utama sindiket dadah antarabangsa, ditambah lebih 100,000 kapal melalui Selat Melaka setiap tahun menyebabkan ada kapal dagang dan bot mewah turut digunakan dalam menyeludup bahan terlarang itu.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh sepanjang tahun 2025 hingga kini, sindiket penyeludupan didapati cenderung menggunakan kawasan perairan berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia sebagai lokasi transit dan pemindahan bekalan dadah.
Katanya, kawasan itu menjadi pilihan kerana kedudukannya strategik, mempunyai trafik bot nelayan yang aktif serta membolehkan aktiviti pemindahan muatan dijalankan secara terselindung di laut.
“Berdasarkan trend penguatkuasaan dan risikan semasa, laluan laut masih menjadi antara pilihan utama sindiket dadah antarabangsa.
“Ini disebabkan Malaysia mempunyai kawasan maritim yang luas dengan kedudukan strategik di laluan perdagangan antarabangsa.
“Selain itu, penggunaan vesel kecil dan bot laju membolehkan sindiket bergerak secara lebih fleksibel dan cuba mengelakkan pengesanan pihak berkuasa,” katanya secara eksklusif kepada Harian Metro, semalam.
Beliau berkata, lebih 100,000 kapal melalui Selat Melaka setiap tahun menyebabkan proses mengenal pasti kapal yang membawa dadah menjadi cabaran besar kepada pasukan penguat kuasa.
“Taktik menggunakan bot mewah menyeludup dadah pernah dikesan apabila APMM Sabah pada Ogos tahun lalu menahan bot membawa dadah jenis methamphetamine seberat 42 kilogram.
“Maritim Pahang pada Februari lalu juga berjaya merampas syabu seberat kira-kira 1.5 tan bernilai lebih RM78.6 juta selepas menahan dua kapal berhampiran sempadan perairan Pahang dan Terengganu dengan tangkapan 18 kru termasuk dua nakhoda kapal,” katanya.
Mohd Rosli berkata, mengesan dadah yang disembunyikan di dalam kapal dagang dan bot mewah adalah antara tugas paling sukar dan mencabar bagi APMM serta agensi penguat kuasa maritim lain.
“Sindiket penyeludupan dadah sentiasa menukar taktik atau modus operandi dan memanfaatkan struktur fizikal kapal atau bot yang rumit bagi menyukarkan pengesanan oleh pihak berkuasa.
“Ruang kompartmen yang sempit dan sukar diakses seperti bilik enjin dan tangki air atau minyak digunakan oleh sindiket dadah untuk mengeksploitasi ruang itu supaya ia sukar dikesan dengan mata kasar.
“Bagi nelayan yang bersubahat dengan sindiket pengedaran dadah, penyimpanan dadah sering disimpan di bawah pukat-pukat, ruang kompartmen serta di dalam bilik enjin,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, APMM menjadikan kesukaran atau cabaran yang ada sebagai satu kekuatan dalam menguatkuasakan undang-undang di perairan negara.
“Maklumat perisikan dan pemantauan dengan lebih tepat tanpa pemeriksaan rawak terhadap kapal dagang atau vesel akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Walau apa pun trend baharu yang digunakan oleh sindiket pengedaran dadah, pihak APMM akan sentiasa komited dan mengambil tindakan terhadap apa jua jenis kapal atau bot yang dijadikan sebagai platform bagi aktiviti jenayah.
“Setiap kapal atau bot yang mencurigakan akan diperiksa secara menyeluruh bagi menjamin keselamatan komuniti maritim serta masyarakat Malaysia,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
