KUALA LUMPUR: Kuasa menteri untuk mengeluarkan “arahan am” kepada Lembaga Tabung Haji (TH) wajar dimansuhkan bagi memastikan institusi berkenaan dapat menjalankan pengurusan operasi dan kewangan secara lebih bebas serta profesional.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, langkah itu boleh dilaksanakan menerusi pindaan terhadap Seksyen 10 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi menetapkan garis pemisah yang lebih jelas antara bidang kuasa eksekutif dengan peranan Lembaga Pengarah TH.
Menurut beliau, pengurusan TH perlu berteraskan prinsip tadbir urus korporat yang mengutamakan pencapaian, integriti serta pematuhan syariah.
Pada masa sama, katanya, pemilihan anggota Lembaga Pengarah dan barisan pengurusan tertinggi TH perlu mengambil kira kelayakan, pengalaman serta kepakaran yang bersesuaian, bukannya faktor lain.
“Individu yang mempunyai latar belakang profesional dan pengalaman luas dalam bidang perakaunan serta kewangan Islam perlu diberikan keutamaan untuk menganggotai lembaga dan menerajui pengurusan tertinggi TH,” katanya.
Shahelmey berkata, pengurusan kewangan TH juga sewajarnya diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab lembaga menerusi penubuhan jawatankuasa berkaitan bagi memastikan setiap keputusan kewangan dibuat secara teratur dan berasaskan pertimbangan profesional.
Katanya, pendekatan itu sekali gus dapat mengecilkan ruang campur tangan politik dalam urusan membuat keputusan berkaitan kewangan institusi berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Shahelmey, dapatan RCI berhubung isu penilaian aset dan pengagihan hibah bagi tempoh 2014 hingga 2017 memperlihatkan betapa pentingnya setiap keputusan kewangan TH dibuat berlandaskan disiplin perakaunan serta penelitian daripada pihak yang mempunyai kepakaran.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempercepatkan pindaan secara menyeluruh terhadap Akta 535 bagi memperkemas sistem tadbir urus, meningkatkan ketelusan dan memperkukuh akauntabiliti TH.
Katanya, penambahbaikan berkenaan penting bagi memastikan kelemahan yang pernah berlaku tidak berulang serta menjamin pengurusan TH terus dilaksanakan secara profesional dan berintegriti pada masa akan datang. – DAKWAT RAKYAT POST
