Ipoh: Sepasang suami isteri dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat kira-kira 480.60 gram di Bercham, awal bulan ini.
Tertuduh, Teoh Wai Loon, 44, dan Lim Suk Pei, 38, didakwa melakukan kesalahan terbabit kira-kira jam 10.30 malam di sebuah bilik di Bercham Bistari 4, Medan Bercham Bistari pada 4 Ogos lalu.
Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret S Punitha.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Majistret.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk proses perbicaraan.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia kes terbabit.
Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri antara tujuh individu yang ditahan dalam empat serbuan berasingan di Ipoh dan Tapah, membabitkan rampasan dadah bernilai lebih RM538,000.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, semua suspek warga tempatan berusia antara 22 hingga 44 tahun ditahan dalam dua serbuan di sebuah pusat hiburan di Ipoh dan dua serbuan di premis rumah di Tapah.
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada Ogos 12, 2026 @ 1:11pm
