PASIR PUTEH: Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan dalam tiga operasi berasingan di sekitar Sungai Tumpat, Sungai Kelantan dan kawasan berhampiran Kampung Ekor Pasir.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, tangkapan itu dilakukan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan migran menerusi laluan tidak diwartakan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, operasi dilaksanakan menerusi Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris dengan penglibatan bot Maritim Malaysia serta Tim Operasi Darat.
Dalam operasi pertama di Sungai Tumpat, sebuah bot laju tanpa lampu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan Kuala Tumpat kira-kira jam 6.15 pagi.
Bagaimanapun, bot berkenaan berjaya meloloskan diri ketika pasukan penguat kuasa digerakkan ke lokasi.
Pencarian lanjut di sepanjang sungai kemudian membawa kepada penahanan tiga warga Indonesia, terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki dewasa, yang disyaki memasuki atau berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.
Dalam operasi kedua di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Ekor Pasir, sebuah lagi bot laju yang bergerak tanpa lampu dikesan kira-kira jam 10.05 malam sebelum melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Pencarian oleh bot Maritim Malaysia dan Tim Operasi Darat di sepanjang tebing sungai kemudian menemukan 10 warga Myanmar yang bersembunyi di kawasan semak berhampiran.
Pemeriksaan mendapati kesemua mereka disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Sementara itu, operasi ketiga di Jeti Floating Market Pulau Pisang, Kota Bharu, bermula selepas maklumat risikan diterima kira-kira jam 5.13 pagi berhubung sebuah bot yang bergerak perlahan menuju ke jeti berkenaan.
Tim Operasi Darat yang menjalankan pemerhatian mengesan dua kenderaan tiba secara tiba-tiba sebelum beberapa individu yang disyaki PATI berlari dari arah jeti menuju ke kenderaan terbabit.
Ketika pasukan cuba melakukan serbuan, kedua-dua kenderaan itu memecut untuk melarikan diri secara agresif sehingga hampir melanggar anggota bertugas.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki yang disyaki PATI tercampak keluar daripada salah sebuah kenderaan sebelum melarikan diri, manakala beberapa individu lain berpatah balik ke arah bot dan meloloskan diri melalui sungai.
Bot Maritim Malaysia yang tiba di lokasi kira-kira jam 5.21 pagi kemudian menjalankan pencarian sebelum berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Kesemua 14 tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 berhubung kesalahan disyaki berada di Malaysia tanpa dokumen dan rekod perjalanan yang sah.
Kamal berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan di perairan serta kawasan pesisir Kelantan bagi membanteras jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan migran.
Menurutnya, kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan tindakan berasaskan risikan serta penyelarasan antara pasukan laut dan darat dalam mengesan cubaan kemasukan melalui laluan tidak diwartakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di perairan atau kawasan pesisir diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan menerusi talian 09-778 0070 atau talian kecemasan 999.-DAKWAT RAKYAT POST
