KOTA KINABALU, 14 Ogos 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara serentak di seluruh daerah bagi membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Dalam operasi yang dijalankan dari 11 hingga 13 Ogos lalu, sebanyak 10 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di pelbagai lokasi strategik di seluruh Sabah.
Hasil pemeriksaan terhadap 575 individu, seramai 164 PATI ditangkap dan ditahan.
Daripada jumlah itu, 114 orang merupakan warganegara Filipina membabitkan 58 lelaki dewasa, 36 perempuan dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan.
Seramai 48 warganegara Indonesia turut ditahan, terdiri daripada 22 lelaki dewasa, 16 perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan ialah dua lelaki dewasa warganegara Pakistan.
Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.
“JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu turut bertujuan memastikan kemudahan imigresen tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
JIM Sabah turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI melalui saluran rasmi jabatan, termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Sistem Pertanyaan Online (SPO).
Orang ramai boleh menyalurkan aduan melalui portal SISPAA di spab.gov.my atau SPO Jabatan Imigresen Malaysia. – DAKWAT RAKYAT POST
