KOTA KINABALU, 14 Ogos 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah melaksanakan program pemindahan tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara asal, melibatkan 115 warganegara Filipina dan 17 warganegara Indonesia.
Bagi warganegara Filipina, pemindahan itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Tawau.
Seramai 115 tahanan berkenaan dibawa melalui Pelabuhan Lahad Datu sebelum dihantar ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial.
Daripada jumlah tersebut, 59 merupakan lelaki dewasa, 21 perempuan dewasa, 18 kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan berusia antara enam bulan hingga 57 tahun.
Pada masa sama, JIM Sabah turut melaksanakan pemindahan 17 tahanan PATI warganegara Indonesia dari Depot Imigresen Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia melalui Pelabuhan Tawau menggunakan feri komersial.
Tahanan terbabit terdiri daripada 13 lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 68 tahun.
Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, proses pemindahan dilaksanakan selepas semua tahanan terbabit selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
“Kesemua tahanan PATI yang dipindahkan telah selesai menjalani hukuman dan mempunyai Travel Documents (TD) serta Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah bagi membolehkan mereka dihantar pulang ke negara asal masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, kanak-kanak yang terlibat dalam program pemindahan turut ditemani ibu bapa atau pengiring masing-masing sepanjang proses perjalanan.
Menurutnya, sehingga kini seramai 4,580 tahanan PATI warga asing telah dipindahkan ke negara asal masing-masing.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 3,004 merupakan warganegara Filipina, 1,334 warganegara Indonesia, 113 warganegara Pakistan, 92 warganegara China dan 18 warganegara Vietnam, manakala 19 lagi terdiri daripada lain-lain kewarganegaraan,” katanya.
Dalam pada itu, JIM Sabah menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti masing-masing dan tidak melindungi atau menggaji PATI.
Datuk Sh Sitti Saleha berkata, kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu jabatan membanteras kegiatan PATI dan memastikan undang-undang imigresen dipatuhi.
“Orang ramai diminta segera melaporkan sebarang kegiatan berkaitan PATI kepada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah melalui saluran rasmi supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.
Aduan boleh disalurkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) Jabatan Imigresen Malaysia. – DAKWAT RAKYAT POST
