LONDON: Pemain bola sepak Nigeria, Chinedu Ozor kini bertarung nyawa selepas dilaporkan ‘hidup semula’ di bilik mayat beberapa jam selepas disahkan meninggal dunia.
Peminat Katsina United cemas apabila Ozor rebah pada peringkat awal aksi pramusim menentang Niger Tornadoes.
Selepas diperiksa doktor yang bimbang dengan keadaannya, pemain pertahanan itu disahkan meninggal dunia.
Bagaimanapun, petugas perubatan terkejut apabila Ozor menggerakkan tangannya ketika berada di bilik mayat.
Pemain Nigeria itu kemudian dikejarkan ke unit rawatan rapi Hospital Besar Katsina dan kini bergantung kepada bantuan oksigen ketika doktor berusaha memulihkan serta menstabilkan keadaannya.
Kelab lamanya, Heartland, turut mengejutkan peminat apabila mengeluarkan kenyataan selepas menerima perkembangan terbaharu mengenai keadaan Ozor.
“Sumber yang boleh dipercayai memaklumkan Chinedu Ozor telah dipindahkan dari bilik mayat ke hospital selepas dilaporkan menunjukkan tanda-tanda pergerakan.
“Dia kini menggunakan bantuan oksigen ketika petugas perubatan berusaha memulihkannya,” menurut kenyataan itu.
Perkembangan mengejutkan itu hadir selepas Katsina United sebelum ini memaklumkan menerusi media sosial bahawa Ozor meninggal dunia akibat kecemasan perubatan ketika aksi persahabatan berkenaan.
Pegawai media Katsina, Nasir Gide berkata, Ozor dibawa ke hospital berhampiran selepas rebah dan disahkan meninggal dunia oleh doktor sebelum dibawa semula ke Hospital Besar Katsina, yang turut mengesahkan keadaan sama.
Liga Bola Sepak Profesional Nigeria (NPFL) dan Kano Pillars yang pernah diwakili Ozor turut memberikan penghormatan susulan berita kematiannya yang kemudian didapati tidak tepat.
Ozor yang baru menyertai Katsina pada awal bulan ini sedang membuat persiapan bersama pasukan itu menjelang musim baharu.
Kredit sumber: Agensi/Berita Harian
