KOTA KINABALU: Seramai 144 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan pulang ke negara asal melalui laluan laut dalam Program Pemindahan Tahanan PATI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah bagi tahun 2026.
Pemindahan itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan yang dibawa melalui Pelabuhan Tawau sebelum dihantar ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan feri komersial.
Daripada jumlah berkenaan, 107 merupakan lelaki dewasa, 26 perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara tiga hingga 68 tahun.
Kanak-kanak yang terlibat dalam program berkenaan turut ditemani ibu bapa atau pengiring masing-masing sepanjang proses pemindahan.
JIM Sabah memaklumkan, sehingga kini seramai 4,750 tahanan PATI pelbagai kewarganegaraan telah dipindahkan kembali ke negara asal masing-masing.
Jumlah itu merangkumi 1,478 warga Indonesia, 3,008 warga Filipina, 118 warga Pakistan, 109 warga China, 18 warga Vietnam dan 19 tahanan daripada negara lain.
Kesemua tahanan berkenaan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan sebelum dibenarkan mengikuti proses pemindahan ke negara asal.
Mereka juga mempunyai Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah sebagai dokumen perjalanan bagi melengkapkan urusan pemindahan.
Dalam pada itu, JIM Sabah menyeru masyarakat supaya lebih prihatin terhadap keadaan di kawasan komuniti masing-masing dan tidak melindungi atau menggaji PATI.
Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI kepada JIM Sabah menerusi saluran rasmi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO).
Langkah itu penting bagi membantu pihak berkuasa membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara terus diperkukuh. – DAKWAT RAKYAT POST
