BEIJING: Pernah menjadi lelaki terkaya di China, hartawan hartanah yang tercemar reputasinya, Xu Jiayin, kelihatan uzur ketika mahkamah di China menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap pengasas Evergrande itu hari ini.
Xu, 67, yang dikenali sebagai Hui Ka Yan dalam bahasa Kantonis, disabitkan atas beberapa kesalahan termasuk penipuan, rasuah dan pecah amanah berkaitan kepimpinannya dalam Evergrande Group, konglomerat hartanah terbesar negara itu sebelum gagal membayar hutang pada 2021.
Kejayaan Xu daripada kemiskinan kepada kekayaan mencerminkan kebangkitan ekonomi China.
Namun, kejatuhannya berlaku ketika China masih bergelut untuk pulih daripada kemerosotan sektor perumahan yang dicetuskan oleh kejatuhan Evergrande.
Xu dilahirkan dalam keluarga miskin di kawasan luar bandar wilayah Henan pada 1958, tahun ketika pemimpin China, Mao Zedong, melancarkan ‘Lompatan Besar ke Hadapan’ — rancangan perindustrian yang membawa kepada kebuluran besar-besaran.
Xu, yang kehilangan ibunya ketika berusia setahun, pernah menceritakan dalam satu ucapan bahawa dia hanya makan ubi keledek dan roti kukus ketika bersekolah.
“Cadar yang saya gunakan, selimut yang saya tutupi dan pakaian yang saya pakai semuanya dipenuhi tampalan,” kata Xu.
“Pada ketika itu, hasrat terbesar saya adalah untuk keluar dari kawasan luar bandar, mendapatkan pekerjaan dan dapat makan makanan yang lebih baik.
“Selepas meninggalkan sekolah pada 1976 — ketika Revolusi Kebudayaan selama sedekad berakhir — dia menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.
Apabila kolej dibuka semula, Xu mempelajari bidang metalurgi dan kemudiannya ditempatkan di sebuah kilang keluli milik kerajaan.
Dia meninggalkan kilang itu pada 1992 untuk ke Shenzhen, pusat yang menjadi nadi eksperimen pembaharuan dan pembukaan ekonomi China pada 1990-an.
Dia akhirnya menceburi bidang hartanah dan pada 1996 mengasaskan Evergrande, yang giat menjalankan pembangunan secara besar-besaran, membina pangsapuri yang mendapat permintaan tinggi di seluruh China serta memanfaatkan pengumpulan kekayaan yang pesat.
Kumpulan itu disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong pada 2009, mengumpul AS$729 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO), sekali gus menjadikannya syarikat hartanah swasta terbesar China pada ketika itu dan Xu sebagai lelaki terkaya di tanah besar China.
Pada 2010, Xu membeli pasukan bola sepak Guangzhou yang bergelut dan menamakannya Guangzhou Evergrande, sambil membelanjakan sejumlah besar wang untuk mendapatkan pemain serta jurulatih bertaraf dunia.
Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bola sepak ketika membeli kelab itu, Xu membantu pasukan berkenaan memenangi beberapa kejuaraan liga.
Dia juga terkenal dengan minat terhadap barangan mewah, khususnya jenama Perancis, Hermes — sehingga mendapat jolokan ‘Xu Tali Pinggang’ selepas dilihat memakai tali pinggang Hermes ketika menghadiri kongres politik kebangsaan.
Ada yang membuat spekulasi bahawa kejayaannya berpunca daripada hubungan rapat dengan individu berpengaruh, termasuk saudara lelaki bekas Perdana Menteri, Wen Jiabao.
Namun, Xu mengaitkan kejayaannya dengan pendidikan — dan Parti Komunis.
“Segala-galanya yang dimiliki Evergrande diberikan oleh Parti, negara dan masyarakat,” katanya.
Bagaimanapun, minat Xu terhadap kapal layar dan barangan mewah semakin bercanggah dengan tindakan Presiden Xi Jinping membanteras kekayaan melampau, ketika Beijing memperketatkan pengawasan terhadap rasuah dalam sektor kewangan.
Keadaan berubah pada 2020 apabila peraturan Beijing yang bertujuan mengehadkan pinjaman berlebihan dalam sektor hartanah menjejaskan keupayaan Evergrande untuk membuat pembayaran.
Kumpulan itu mula goyah di bawah dasar baharu ‘tiga garis merah’, iaitu had bagi tiga nisbah hutang berbeza, yang memaksa ia menjual hartanah pada harga diskaun yang semakin besar.
Evergrande bergelut untuk menenangkan pembeli rumah dan pelabur yang marah, ketika krisis syarikat itu mencetuskan demonstrasi yang jarang berlaku di luar pejabatnya di China.
Dalam usaha meyakinkan pekerjanya pada September 2021, Xu memberitahu kakitangan menerusi sepucuk surat bahawa beliau percaya kumpulan itu akan ‘keluar daripada saat paling gelap tidak lama lagi’.
Sebulan kemudian, pihak berkuasa China dilaporkan meminta Xu menggunakan kekayaan peribadinya bagi mengurangkan krisis hutang syarikatnya.
Pada Disember tahun itu, agensi penarafan Fitch Ratings mengisytiharkan syarikat itu gagal membayar hutang.
Dua tahun kemudian, media melaporkan bahawa Xu telah ditahan polis. Pada keesokan harinya, Evergrande dalam pemfailan kepada Bursa Saham Hong Kong berkata Xu disyaki melakukan ‘jenayah haram’, tanpa memberikan butiran lanjut.
Tiada laporan mengenai Xu dilihat di khalayak ramai selama hampir tiga tahun, termasuk ketika Evergrande dinyahsenarai daripada bursa saham pada 2025.
Menjelang 2023, kekayaan Xu dianggarkan sebanyak AS$1.8 bilion — merosot daripada AS$42 bilion pada 2017 — menurut Bloomberg Billionaires Index.
Pada April 2026, sebuah mahkamah di Shenzhen berkata Xu telah mengaku bersalah dan ‘menunjukkan rasa kesal’ atas kesalahan termasuk penipuan, pecah amanah dan rasuah.
Pada Khamis, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadapnya serta mengenakan denda lebih AS$2 bilion ke atas Evergrande Group dan sebuah syarikat sekutunya.
Kali ini, mahkamah tidak menyatakan sama ada Xu membuat sebarang kenyataan.
Kredit sumber: AFP/Berita Harian
