SANDAKAN, 22 Ogos — Pasukan bomba sukarela dicadang diwujudkan di setiap kampung, khususnya di kawasan pulau, bagi membolehkan penduduk mengambil tindakan awal sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.
Cadangan itu dikemukakan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir susulan kejadian kebakaran di Pulau Nunuyan yang memusnahkan 28 rumah, baru-baru ini.
Menurut Suhaimi, inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu sudah dimulakan di Kampung Tinusa, Sandakan, bulan lalu.
Katanya, menerusi inisiatif berkenaan, penduduk diberikan latihan bagi membolehkan mereka melakukan tindakan awal ketika berlaku kebakaran, terutama di kawasan pulau yang hanya boleh diakses melalui jalan laut.
“Sebenarnya pihak di bawah KPKT telah merancang untuk setiap kampung ada satu sukarela diwujudkan oleh bomba itu sendiri.
“Bulan lalu, saya bersama-sama dengan agensi bomba di Tinusa untuk melantik dan mempersiapkan orang kampung sebagai sukarelawan untuk berhadapan dalam tempoh 10 minit atau 20 minit sebelum bomba tiba.”
Beliau berkata demikian ketika menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Pulau Nunuyan, pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi Selasa lalu, kebakaran merebak dengan pantas susulan tiupan angin kencang selain kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain.
Penduduk ketika itu hanya menggunakan sebuah pam air yang terdapat di kampung berkenaan bagi membasahkan bumbung dan dinding rumah yang masih belum dijilat api.
Ketua Kampung Pulau Nunuyan, Mohd Sutri Mohd Nurdin berkata, usaha penduduk berjaya menyelamatkan beberapa rumah, namun keadaan api yang semakin marak menyebabkan kebakaran sukar dikawal.
Beliau turut mencadangkan supaya setiap rumah dilengkapi sekurang-kurangnya sebuah alat pemadam api, selain golongan belia diberikan latihan mengendalikannya.
“Kalau boleh, kita buat satu pengajaran ini. Setiap rumah mesti ada satu biji pemadam api. Jadi kalau kita ada 10 rumah, 10 biji pemadam api itu boleh membantu.
“Sebelum bomba sampai, kita orang kampung boleh buat.”
Dalam perkembangan sama, satu kawasan tanah kosong di pulau berkenaan sudah dikenal pasti sebagai cadangan tapak penempatan baharu bagi 29 isi rumah yang terjejas akibat kebakaran.
Langkah itu diambil selepas pemilik tanah di penempatan lama tidak membenarkan rumah dibina semula di kawasan berkenaan.
Suhaimi berkata, urusan mendapatkan tapak baharu itu akan diusahakan dalam tempoh sebulan sebelum permohonan peruntukan pembinaan rumah dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau berharap usaha berkenaan dapat membantu mangsa mendapatkan penempatan yang lebih selamat, selain meningkatkan kesiapsiagaan komuniti di kawasan pulau dalam menghadapi kejadian kecemasan.
