SEMPORNA: Masalah longgokan sampah di bulatan jalan raya berhampiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna terus menimbulkan kebimbangan penduduk apabila keadaan kotor, tong sampah yang penuh dan kemudahan yang rosak didakwa menjejaskan kebersihan persekitaran serta imej pelancongan daerah itu.
Kawasan berkenaan terletak berhampiran simpang menuju Pekan Tong Tallon, Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul, pejabat Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) serta laluan utama ke Pekan Simpul.
Naib Presiden merangkap Pengerusi Parti Impian Sabah bagi DUN N65 Sinallang, Mohd Lipai @ Samsu Hj. Sundalu, berkata keadaan itu bukan sahaja menjejaskan keselesaan penduduk Taman Simpul dan Taman Nilam, malah berpotensi mendatangkan risiko kesihatan kepada masyarakat setempat.
Menurut beliau, timbunan sampah yang tidak diurus dengan baik serta tong sampah yang melimpah menyebabkan bau busuk berterusan dan berpotensi menjadi tempat pembiakan lalat, nyamuk, tikus serta serangga perosak lain.
Katanya, keadaan tersebut membimbangkan kerana kawasan berkenaan terletak berhampiran kawasan perumahan yang didiami ramai keluarga, selain menjadi laluan murid, guru, kakitangan sekolah dan orang ramai yang berurusan di pejabat berhampiran.
Beliau turut membangkitkan kesukaran yang dihadapi petugas pembersihan sedia ada dalam mengendalikan jumlah sampah yang banyak dengan tenaga kerja yang terhad.
Selain itu, beliau mendakwa terdapat petugas pembersihan yang tidak memakai pakaian seragam dan kelengkapan perlindungan diri (PPE) ketika menjalankan tugas di kawasan berisiko tinggi, khususnya di tepi bulatan jalan raya yang sibuk dan simpang menuju Pekan Tong Tallon.
Menurutnya, keadaan itu boleh mendedahkan petugas kepada risiko kemalangan jalan raya serta bahaya kesihatan ketika mengendalikan sampah.
Mohd Lipai berkata, masalah kebersihan itu juga perlu diberi perhatian serius kerana kawasan berkenaan menjadi antara laluan yang dilalui pelancong, sekali gus berpotensi mencemarkan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan terkenal di Sabah.
Beliau menegaskan bahawa teguran berkenaan bukan bertujuan menyalahkan Pejabat PPD, SK Bubul atau pejabat PGRS yang berada berhampiran lokasi terbabit.
Sebaliknya, beliau berpandangan pihak berkenaan turut berdepan keadaan yang sama dan boleh memainkan peranan bersama dalam menyuarakan isu itu kepada pihak berkuasa serta jabatan berkaitan bagi mendapatkan penyelesaian menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau menyuarakan kebimbangan penduduk terhadap ketiadaan penyelesaian menyeluruh walaupun isu berkenaan dikatakan telah beberapa kali dibangkitkan oleh masyarakat di Taman Simpul, Taman Nilam dan kawasan sekitarnya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan yang telah diambil oleh pemimpin kerajaan, termasuk ahli Parlimen dan wakil rakyat yang dipilih, dalam membawa masalah itu kepada perhatian pihak bertanggungjawab.
Mengulas peluang pekerjaan, Mohd Lipai berkata, masalah pengurusan sampah di Semporna boleh ditangani serentak dengan isu pengangguran belia sekiranya lebih ramai anak tempatan dipertimbangkan untuk bekerja sebagai petugas kebersihan tambahan.
Katanya, penambahan tenaga kerja bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban petugas sedia ada, malah membuka peluang pekerjaan kepada belia yang masih belum mendapat pekerjaan.
Beliau turut menekankan bahawa semua petugas kebersihan, sama ada sedia ada atau baharu, perlu dibekalkan pakaian seragam, peralatan kerja dan PPE yang bersesuaian bagi memastikan keselamatan mereka ketika bertugas.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berwajib melaksanakan pembersihan menyeluruh di kawasan bulatan jalan raya dan sekitarnya serta menggantikan tong sampah yang rosak.
Beliau turut mencadangkan penyediaan tong sampah yang mencukupi di sepanjang laluan ke Pekan Simpul, simpang Pekan Tong Tallon serta kawasan pinggiran Taman Simpul dan Taman Nilam.
Selain itu, beliau menggesa supaya jadual pengangkutan sampah yang konsisten dan pemantauan harian dilaksanakan bagi mengelakkan masalah longgokan sampah berulang.
Antara cadangan lain ialah mengambil lebih ramai belia tempatan sebagai petugas kebersihan tambahan, menyediakan kelengkapan keselamatan lengkap kepada semua pekerja serta mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan.
Perbincangan itu, katanya, wajar melibatkan PPD, SK Bubul, wakil PGRS, penduduk Taman Simpul dan Taman Nilam, petugas pembersihan serta jabatan berkaitan bagi merangka penyelesaian jangka panjang.
Beliau berharap kerjasama semua pihak dapat memastikan kawasan berkenaan kembali bersih, selamat dan selesa untuk penduduk, murid, kakitangan serta pengunjung.
Pada masa sama, usaha tersebut diharap dapat meningkatkan perlindungan kepada petugas kebersihan, mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia tempatan dan memelihara imej Semporna sebagai destinasi pelancongan di Sabah. – DAKWAT RAKYAT POST
