TAWAU: Tawau berpotensi menjadi daerah kedua di Sabah yang diiktiraf sebagai Child Friendly City (Bandar Mesra Kanak-kanak) selepas Kota Kinabalu, sekali gus memperkukuh usaha memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak diberi perhatian menyeluruh.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, usaha itu bagaimanapun memerlukan kerjasama strategik membabitkan jabatan, agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, ketika ini Kota Kinabalu menjadi satu-satunya daerah di Sabah yang diiktiraf menerusi konsep berkenaan, berbanding Sarawak yang sudah mempunyai lapan daerah berstatus Child Friendly City.
“Kita berharap dapat membawa Tawau seterusnya untuk diiktiraf sebagai Child Friendly City dengan menggerakkan kerjasama strategik bersama jabatan, agensi dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT).
“Kita mahu membangunkan daerah yang lebih selamat dan mesra kanak-kanak dengan memberi fokus kepada isu keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Advokasi: Kempen Kesedaran Perlindungan Kanak-kanak Daripada Jenayah Seksual di Tawau, hari ini.
Rina berkata, konsep Bandar Mesra Kanak-kanak bukan sekadar menyediakan kemudahan untuk golongan itu, sebaliknya turut membabitkan aspek keselamatan serta pewujudan persekitaran yang kondusif dan sesuai untuk tumbesaran mereka.
Katanya, kerajaan negeri sudah melaksanakan pelbagai usaha membabitkan aspek penguatkuasaan dan keselamatan bagi memastikan kebajikan serta perlindungan kanak-kanak terus terjamin.
“Kita percaya Tawau juga mampu dikelaskan sebagai Child Friendly City sekiranya semua pihak bergerak bersama dan peruntukan yang ada dapat digerakkan dengan sebaiknya,” katanya.
Dalam pada itu, Rina berkata peningkatan kes berkaitan perlindungan kanak-kanak sehingga tahun ini perlu diberi perhatian serius, selain diteliti secara lebih terperinci bagi mengenal pasti punca dan ruang penambahbaikan.
Menurutnya, semua agensi berkaitan perlu berkongsi maklumat, maklum balas dan laporan mengenai isu kanak-kanak supaya tindakan awal dapat diambil sebelum sesuatu keadaan menjadi lebih serius.
“Kita perlu mengambil maklum isu semasa yang berlaku, selain melihat aspek pemantauan yang mungkin terlepas pandang.
“Justeru, kita memerlukan maklum balas dan laporan daripada setiap agensi untuk kita mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut komited melaksanakan dasar dan garis panduan perlindungan kanak-kanak yang ditetapkan di peringkat Persekutuan, selain menyesuaikannya dengan keperluan serta keadaan di Sabah.
Katanya, pendekatan rentas agensi penting bagi memastikan agenda perlindungan kanak-kanak tidak hanya tertumpu kepada tindakan selepas kejadian berlaku, sebaliknya turut menekankan aspek pencegahan.
“Kerjasama semua pihak amat penting supaya kita dapat memastikan kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang selamat, kondusif dan benar-benar mengambil kira kepentingan mereka,” katanya.
