KENINGAU: Dua remaja lelaki masing-masing berusia 16 dan 13 tahun masih belum ditemui selepas dipercayai lemas ketika mandi bersama rakan-rakan di kawasan Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau menerima laporan mengenai dua mangsa lemas sebelum pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.20 petang.
Mangsa dikenal pasti sebagai Jastey Goment, 16, dan Khend Romel Ponce Caceres, 13, kedua-duanya lelaki. Sehingga operasi SAR hari pertama ditangguhkan, kedua-dua mangsa masih belum dijumpai.
Menurut saksi, kedua-dua mangsa sedang mandi bersama rakan-rakan sebelum mereka disedari telah hilang dan dipercayai lemas.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh 10 anggota BBP Keningau bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), menggunakan kaedah pencarian di permukaan air (water surface) dengan tali sejauh kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
Pencarian kemudian diperluaskan sehingga radius dua kilometer, meliputi permukaan air serta kawasan tebing sungai bagi mengesan kedua-dua mangsa.
Operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada jam 6 petang semalam dan akan disambung semula hari ini, 23 Ogos 2026.
Operasi diketuai PBK I Danny Boy Cornelio, manakala Ketua Balai BBP Keningau, PKPgB Severinus Nidzam Sainkui, turut menjadi pegawai yang boleh dihubungi berhubung perkembangan operasi.
