KUNAK: Program Taman Angkat Amanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus diperkasa sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara pasukan polis dengan masyarakat, khususnya dalam aspek keselamatan dan pencegahan jenayah.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, pendekatan kepolisan komuniti itu membolehkan anggota polis berinteraksi secara lebih dekat dengan penduduk, selain mengenal pasti isu keselamatan dan kebajikan yang dihadapi masyarakat setempat.
Katanya, kerjasama antara polis dan komuniti amat penting kerana usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam tidak boleh dipikul oleh pihak berkuasa semata-mata.
“Kita mahu mengubah persepsi masyarakat daripada melihat polis semata-mata sebagai penguat kuasa undang-undang kepada rakan kongsi keselamatan yang sentiasa berada di sisi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita IPD Kunak di Taman Perumahan Kunak Kaya yang diadakan di Dewan SJK(C) Pai Sheng, pada Sabtu.
Menurutnya, Skuad Amanita turut memainkan peranan penting dalam mendekati golongan wanita dan ibu dalam komuniti, khususnya berkaitan keselamatan keluarga, pencegahan jenayah serta pengukuhan semangat kejiranan.
Katanya, Peluncuran Taman Angkat Amanita di Taman Kunak Kaya merupakan yang ke-20 dan terakhir bagi siri pelaksanaan program berkenaan di setiap daerah di Sabah.
Bagaimanapun, beliau berkata program itu boleh diperluaskan ke kawasan lain sekiranya terdapat keperluan dan kesesuaian bagi memastikan pendekatan kepolisan komuniti dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.
Dalam perkembangan sama, Azhar berkata kemajuan teknologi turut dimanfaatkan PDRM bagi memudahkan masyarakat menyalurkan maklumat dan mendapatkan perkhidmatan kepolisan.
Katanya, Polis Kontinjen Sabah sejak 2024 turut memperkenalkan QR Code Aduan Masyarakat sebagai salah satu platform untuk orang awam menyalurkan maklumat dengan lebih pantas menggunakan telefon pintar.
Beliau turut menggalakkan masyarakat memanfaatkan kemudahan tersebut serta terus bekerjasama dengan polis dalam usaha mengekalkan keamanan dan kesejahteraan komuniti.
Azhar berkata, kadar jenayah di daerah Kunak kini berada pada tahap terkawal hasil usaha berterusan pihak polis melalui rondaan, pemantauan dan operasi pencegahan.
Katanya, operasi membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah turut dipergiat secara berterusan bersama jabatan dan agensi berkaitan.
Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif merangkap ADUN Kunak, Dato Sri Anil Sandhu berkata, program berteraskan Community Policing itu perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan kerjasama antara pasukan keselamatan dan masyarakat.
Beliau berkata, masyarakat perlu memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan isu sosial kepada pihak berkuasa, selain tidak mengambil tindakan sendiri.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan serta menjejaskan ketenteraman awam.
Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah, SAC Lim San Aik, Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Rejali Angong serta pegawai kanan PDRM dan jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan.
