LAHAD DATU, 25 Ogos 2026 – Seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu cedera selepas terkena tembakan ketika sedang menjalankan tugas di Pos Pengawal Marin, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 25 Ogos 2026.
Beliau berkata, anggota berpangkat Lans Koperal itu mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri dan bahagian perut akibat terkena tembakan.
“Selepas kejadian, seorang anggota yang bertugas bersama mangsa telah mengosongkan senjata api di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurutnya, mangsa terlebih dahulu diberikan rawatan di Hospital Lahad Datu sebelum dibawa ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan lanjut.
Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan kini masih menjalani rawatan serta pemantauan pihak hospital.
Dzulbaharin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960, iaitu berkaitan kesalahan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan kepada seseorang.
Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian berkenaan.
Polis pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi berkaitan insiden itu sehingga siasatan selesai.
Perkembangan lanjut mengenai kes berkenaan akan dimaklumkan selepas siasatan dijalankan. – DAKWAT RAKYAT POST
