KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil serius perkembangan keselamatan di Balabac, Filipina berhampiran Sabah, dengan memperkukuh pertahanan, pengawasan maritim dan keselamatan sempadan negeri itu.
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkembangan itu menjadi peringatan bahawa situasi keselamatan di sekitar Sabah sedang berubah susulan peningkatan aktiviti ketenteraan berhampiran perairan negara.
“Perkembangan di Balabac perlu dipandang serius kerana ia berlaku begitu hampir dengan Sabah. Namun, tiada sebab untuk rakyat Sabah berasa panik.
“Apa yang berlaku di Balabac adalah satu peringatan bahawa situasi keselamatan di sekeliling Sabah sedang berubah.
“Dengan peningkatan aktiviti ketenteraan yang berhampiran dengan perairan kita, kita mesti memastikan pertahanan, pengawasan maritim dan keselamatan sempadan kita cukup kuat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mohd Shafie berkata, usaha memperkukuh keselamatan dan pertahanan Sabah perlu merentasi fahaman politik, dengan Kerajaan Persekutuan memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan agensi keselamatan lain dilengkapi peralatan, teknologi serta sumber mencukupi.
Katanya, keutamaan itu amat penting khususnya di kawasan utara dan timur Sabah yang berdepan kedudukan strategik serta cabaran keselamatan tersendiri.
“Sabah tidak sepatutnya terperangkap dalam persaingan antara kuasa besar. Saya menyokong usaha untuk memperkukuh keselamatan dan pertahanan Sabah. Perkara ini harus merentasi fahaman politik.
“Kerajaan Persekutuan mesti memastikan bahawa Angkatan Tentera kita, ESSCOM dan agensi keselamatan lain mempunyai kelengkapan, teknologi dan sumber yang diperlukan, terutama di utara dan timur Sabah,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Shafie menegaskan, Malaysia perlu terus mengekalkan dasar luar yang bebas dan berkecuali serta hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China tanpa terheret dalam persaingan antara kuasa besar.
Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan perkembangan keselamatan serantau perlu dipandu kepentingan Malaysia, kedaulatan negara dan keselamatan rakyat.
“Pada masa yang sama, Malaysia mesti terus berhubung dengan Filipina, Amerika Syarikat, China dan jiran-jiran ASEAN kita melalui saluran diplomasi. Kita mahu rantau ini kekal aman dan stabil,” katanya.
Mohd Shafie berkata, Sabah bersama negeri-negeri lain membentuk Malaysia pada 1963, justeru keselamatan negeri itu tidak boleh dipisahkan daripada keselamatan negara.
“Sabah bersama-sama pihak lain telah membentuk Malaysia pada 1963. Oleh itu, keselamatan Sabah ialah keselamatan Malaysia dan kedaulatan kita tidak boleh sekali-kali dikompromi.
“Rakyat Sabah tidak perlu takut, tetapi kita mesti kekal waspada dan bersedia. Kita mesti melindungi sempadan kita sambil terus mengusahakan keamanan melalui diplomasi,” katanya.
Kredit sumber: UTUSAN MALAYSIA
